Dah Jadi Trend, Ketahui Apa Sebenarnya ‘Hubungan Parasosial’
Baru-baru ini, Cambridge Dictionary telah memilih perkataan “parasocial” sebagai Word of the Year 2025. Bagaimanapun, ia mencetuskan perbincangan ‘hangat’ di media sosial.
Menurut OnlyMyHealth, fenomena ini dikaitkan dengan budaya peminat selebriti serta ikatan imaginasi terhadap personaliti terkenal dan chatbot AI.
Tapi, apa sebenarnya maksud parasosial?
Menurut Cambridge Dictionary, parasosial merujuk kepada hubungan atau ikatan yang dirasakan seseorang terhadap individu terkenal yang tidak mereka kenali secara peribadi. Misalnya selebriti, watak fiksyen, personaliti TV atau malah kecerdasan buatan (AI).
Istilah ini diperkenalkan pada 1956 oleh dua ahli sosiologi, Donald Horton dan Richard Wohl, untuk menerangkan hubungan sehala yang terbentuk antara penonton dan personaliti media.
Seperti dikongsikan OnlyMyHealth, Perunding Psikiatri, Aster CMI Hospital, Bangalore, Dr Divya Shree K. R. menjelaskan bahawa hubungan parasosial ialah hubungan 100 peratus sehala.
Seseorang boleh rasa dekat atau ada ikatan emosi dengan selebriti, pempengaruh atau watak cerita hanya kerana mereka selalu menonton atau mengikuti kandungan mereka berulang kali.
Psikologi di sebalik hubungan parasosial
Dari sudut psikologi, hubungan parasosial berlaku kerana otak manusia secara semula jadi membentuk ikatan emosi apabila kita melihat, mendengar atau mengetahui maklumat peribadi tentang seseorang secara berulang, walaupun orang itu hanya muncul di skrin.
Media sosial pula menguatkan fenomena ini apabila selebriti berkongsi rutin harian, kisah peribadi dan mesej yang memberi ilusi seolah-olah mereka berkongsi hubungan rapat dengan peminat.
Seperti dikongsikan OnlyMyHealth, Psikoterapis, Jurulatih Kehidupan & Pengasas Gateway of Healing, Dr Chandni Tugnait, apabila seseorang sentiasa menonton kandungan selebriti, otak mengaktifkan laluan neurologi yang sama seperti hubungan sebenar, sekali gus mencipta rasa keakraban dan keselesaan.
Penyelidikan moden menunjukkan bahawa hubungan parasosial lebih mudah terbentuk dalam kalangan individu yang berasa sunyi, kurang sokongan sosial atau hidup terasing.
Penyelidikan menunjukkan bahawa hubungan parasosial lebih mudah terbentuk pada mereka yang berasa sunyi, kurang sokongan sosial, atau hidup terasing.
Menonton kehidupan selebriti dalam talian atau membaca tentang mereka boleh membuat seseorang rasa terhubung, sehingga wujud keterikatan terhadap pilihan hidup, kerjaya, dan tingkah laku selebriti itu.
Di sisi lain, hubungan parasosial dilihat sebagai mekanisme untuk menangani tekanan hidup. Bagi sesetengah orang, mengikuti selebriti atau watak fiksyen yang dikagumi memberi ruang emosi selamat, membantu mereka rasa kurang bersendirian dan memberi ketenangan ketika menghadapi fasa sukar.
Dr Tugnait menambah, hubungan parasosial memberi keselesaan tanpa beban konflik yang biasanya wujud dalam hubungan sebenar, justeru menjadi tempat melarikan diri daripada tekanan realiti.
Adakah hubungan parasosial sihat?
Menurut OnlyMyHealth, pemilihan perkataan ‘parasosial’ sebagai perkataan tahun ini berlaku pada zaman di mana ramai orang di seluruh dunia berasa kesepian.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjelaskan satu daripada enam orang berasa sunyi dan kurang mempunyai hubungan manusia yang berkualiti.
Namun, adakah hubungan parasosial membantu atau menyukarkan keadaan? Cleveland Clinic menjelaskan hubungan parasosial tidak boleh dikatakan sihat atau tidak sihat secara mutlak kerana ia bergantung kepada keadaan mental individu itu sendiri.
Dr Tugnait menjelaskan hubungan parasosial boleh bermanfaat. Ini terjadi apabila ia memberi inspirasi, hiburan atau rasa selesa tanpa menggantikan hubungan sebenar dan tidak menjejaskan kehidupan harian seseorang.
Sebaliknya, hubungan ini menjadi tidak sihat apabila seseorang terlalu bergantung pada ikatan sehala itu untuk sokongan emosi. Lebih-lebih lagi apabila mula mengabaikan hubungan sebenar, berasa cemburu atau sedih apabila tidak menerima respons atau mengidealiskan personaliti tersebut secara berlebihan.
Dr Tugnait menambah bahawa apabila hubungan parasosial tidak seimbang, ia boleh memesongkan jangkaan seseorang dalam hubungan sebenar dan menambahkan rasa terasing. Hubungan ini juga boleh membuat seseorang terlalu bergantung pada ‘ikatan bayangan’ untuk kestabilan emosi.
Hubungan parasosial boleh jadi bahaya?
Di sisi lain, hubungan parasosial boleh menjadi berbahaya apabila ia berkembang ke tahap ekstrem. Dr Shree menjelaskan bahawa keadaan ini berlaku apabila seseorang menjadi terlalu terikat secara emosi dan mula mempercayai bahawa hubungan tersebut benar-benar wujud.
Ikatan yang mendalam dan berpanjangan boleh menimbulkan delusi bahawa wujud hubungan sebenar antara individu dan selebriti tersebut.
Dalam kes lebih serius, seseorang mungkin bertindak mengugut, menghendap atau menyerang personaliti tersebut kerana merasakan diri mereka mempunyai hak mendapat perhatian selebriti itu.
Tingkah laku ekstrem ini bukan sahaja boleh mengancam keselamatan selebriti. Malah, boleh merosakkan kehidupan individu itu sendiri apabila mereka mengabaikan kawan-kawan, hubungan sebenar atau berasa tertekan apabila selebriti tersebut tidak memberi respons.
BACA: Maksud Sebenar “Job Hugging”, Trend Baru Di Tempat Kerja
BACA: Lepas “Job Hugging”, Muncul Pula Isu “Resenteeism” Di Tempat Kerja
Sumber: OnlyMyHealth