
Seorang lelaki ditahan setelah menyembelih isteri dan anaknya di rumah mereka di Tiefenbronn, sebuah bandar di barat daya Jerman.
Mayat isterinya yang berusia 38 tahun dan anaknya berusia lapan tahun ditemui di rumah mereka dalam keadaan menyayat hati oleh pihak polis.
Josef H, 60 tahun yang merupakan seorang jurutera ditahan di lokasi berkenaan setelah jirannya terdengar adegan mengerikan tersebut dan melaporkan kepada pihak polis.

Jirannya berkata, anak lelaki sulung Josef yang berusia 11 tahun berlari keluar dari rumah dalam keadaan berlumuran darah sambil menjerit, “Cukuplah ayah!”
Kanak-kanak lelaki yang mengalami kecederaan di leher akibat diserang menggunakan pisau itu dibawa ke hospital menaiki helikopter disebabkan risiko kehilangan nyawa. Keadaannya ketika ini masih belum diketahui.

Seorang jiran yang tidak dinamakan berkata, Josef sering menjerit memarahi keluarganya.
“Kami jarang melihatnya, tetapi kami sering mendengar dia menjerit marah.”

Kes tersebut masih dalam siasatan pihak polis.
Sumber: Daily Mail