Jabatan Meteorologi Malaysia(MET Malaysia) memaklumkan bahawa negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka akan berterusan sehingga pertengahan Mac 2021.
Menerusi kenyataan yang dimuatnaik di Twitter, taburan hujan agak rendah di Semenanjung Malaysia terutamanya di utara Semenanjung sepanjang tempoh ini.
Pun begitu, MET Malaysia tidak menjangkakan keadaan cuaca panas luar biasa akan berlaku pada tahun ini.
“Cuaca panas yang dialami pada ketika ini adalah satu fenomena biasa sepanjang tempoh Februari hingga April setiap tahun.
“Sehingga kini, suhu tertinggi bagi bulan Februari adalah lebih rendah berbanding tahun lalu.
“Suhu tertinggi pada Februari 2021 adalah 36.2 darjah Celcius manakala pada tahun 2020 adalah 37.4 darjah Celcius yang dicerap di Stesen Meteorologi Kuala Kangsar, Perak,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, keadaan cuaca agak panas yang dialami di kebanyakan kawasan negara dalam tempoh ini dijangka beransur reda bermula pertengahan April 2021.
Semua pihak juga dinasihatkan supaya mengambil langkah penjimatan dalam penggunaan air dan mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka, mengurangkan aktiviti-aktiviti di luar serta minum air secukupnya.
Sumber: MetMalaysia