MELAKA, 3 Mac (Bernama) — Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Melaka menerima antara 30 hingga 50 panggilan sehari berkaitan kebakaran dengan 95 peratus daripadanya berpunca daripada pembakaran terbuka.
JBPM Melaka dalam satu kenyataan hari ini memberitahu jumlah kebakaran itu disebabkan cuaca panas dan kering yang melanda Melaka dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.
“Kebakaran yang kerap berlaku ialah kebakaran hutan serta belukar dan ia berpunca daripada pembakaran terbuka yang dilakukan orang ramai.
“Ia turut menyebabkan beberapa kebakaran besar seperti di Bukit Beruang di Ayer Keroh yang mengambil masa dua hari untuk api dipadamkan dan di Bukit Kepok di Merlimau yang mengambil masa empat hari untuk api dipadamkan,” kata JBPM.
JBPM berkata kebakaran itu bukan sahaja mengambil masa untuk dipadamkan malah ia turut melibatkan kuantiti air yang banyak dalam situasi Melaka mengalami catuan bekalan air.
Justeru, orang ramai dinasihatkan tidak melakukan pembakaran terbuka seperti membakar sampah dan longgokan kayu demi kesejahteraan bersama.
Sumber: BERNAMA