
Cuaca Buruk, Lebihan Muatan Punca Helikopter Dinaiki Bekas Presiden Iran Terhempas
TEHRAN — Hasil siasatan nahas helikopter yang mengorbankan Presiden Iran, Ebrahim Raisi pada 19 Mei lalu berpunca daripada cuaca buruk dan lebihan muatan menurut media Iran, memetik AFP.
Menurut agensi berita Fars melalui sumber keselamatan mengesahkan bahawa nahas berkenaan adalah disebabkan oleh kemalangan.
“Kes nahas helikopter Ayatollah Raisi telah diselesaikan sepenuhnya oleh institusi kawal selia dan keselamatan.
“Agensi keselamatan dan perisikan juga mengesahkan bahawa apa yang berlaku adalah kemalangan,” lapor Fars, memetik sumber.
Tambahnya, punca utama nahas pada bulan Mei itu akibat daripada cuaca buruk dan ketidakupayaan helikopter untuk naik dengan penumpang tambahan yang melebihi protokol keselamatan.
Hasil siasatan turut mendapati helikopter berkenaan membawa dua lebihan penumpang melebihi kapasiti yang ditetapkan selepas dilaporkan terhempas.
Pihaknya turut menafikan punca nahas berkemungkinan kerana ‘sabotaj’ ekoran tiada sebarang bahan kimia dan bahan berbahaya ditemui di lokasi kejadian.
Perkara itu diperkukuhkan lagi menerusi pihak tentera tempatan yang memaklumkan tidak menemui sebarang bukti jenayah dalam kejadian itu.
Sebelum ini, Helikopter yang membawa Raisi, 63, bersama rombongannya dilaporkan terhempas di lereng gunung di utara Iran, mengorbankan lapan individu termasuk menteri luar Raisi, Hossein Amir-Abdollahian.
Terdahulu, SK melaporkan helikopter yang membawa Presiden Iran Ebrahim Raisi dipercayai terlibat dalam kemalangan di wilayah Azerbaijan Timur Iran.
“Beberapa laporan yang tidak disahkan mengatakan bahawa helikopter yang membawa Presiden Raisi telah mengalami kemalangan di wilayah Azerbaijan Timur,” kata televisyen kerajaan sambil menambah bahawa usaha menyelamat sedang dijalankan.
Difahamkan, pasukan keselamatan telah dikejarkan dan tiba di lokasi kejadian, bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijangka memakan masa berikutan cuaca buruk, memetik Agensi Anadolu.
Turut berada dalam pesawat ringan itu dipercayai adalah Imam Solat Jumaat, Seyyed Mohammad-Ali-Hashem dan Menteri Luar Negeri, Hossein Amir-Abdollahian.
Difahamkan, helikopter berkenaan ingin melakukan pendaratan kecemasan kerana kabus tebal susulan cuaca buruk
Sumber: South China Morning Post