Peminat bola sepak di luar sana mesti ramai dah tahu yang bintang bola sepak dunia, Christiano Ronaldo dah ‘kembali’ ke Manchester United selepas lebih 10 tahun meninggalkan kelab itu.
Ronaldo dijangka melakukan debut kali kedua dengan MU, Sabtu ini dalam perlawanan menentang Newcastle di Old Trafford.
Pemain asal Portugal itu terbang ke United Kingdom Jumaat lalu dan menjalani lima hari kuarantin di sana. Ronaldo mula berlatih bersama MU pada Selasa dan hanya sempat melakukan beberapa sesi latihan menjelang perlawanan Sabtu ini.
Pun begitu, perlawanan debut kali kedua Ronaldo dengan pasukan MU Sabtu ini tidak akan disiarkan di UK, memetik laporan ESPN. Walaupun mendapat permintaan dari jutaan penyokong, UK tetap menolak untuk menyiarkan aksi pertama Ronaldo dengan MU menentang Newcastle.
Sepak mula perlawanan Sabtu ini telah ditetapkan pada jam 3 petang waktu tempatan. Tapi sayangnya, polisi “3 pm blackout” yang diamalkan di UK sejak 40 tahun lalu tidak mengizinkan perlawanan tersebut ditayangkan secara langsung pada waktu berkenaan.
Menurut ESPN, pihak penyiaran televisyen Inggeris terpaksa akur kerana sudah terlambat untuk mengubah jadual perlawanan Manchester United-Newcastle Sabtu ini.
Dalam peraturan “3 pm blackout“, semua jenis perlawanan tidak dibenarkan tayang secara langsung di televisyen Inggeris pada hari Sabtu bermula jam 2.45 petang hingga 5.15 petang.
Peraturan ini pada awalnya mengecualikan saingan akhir Piala FA, namun sejak tahun 2012, perlawanan tersebut diubah kepada jam 5.15 petang.
Polisi “3 pm blackout” diperkenalkan pengerusi Burnley, Bob Lord sekitar 1960-an. Lord mempersoalkan jadual sepak mula di televisyen Inggeris yang sering ditetapkan pada hari Sabtu, jam 3 petang.
Pada pendapat Lord, penetapan masa ini akan memberi dampak buruk kepada penonton di stadium kerana penyokong akan memilih menonton perlawanan di rumah.
Peraturan ini juga menjadi sebab Liga Perdana Inggeris dijadualkan pada hari Ahad. Malah kesemua 10 perlawanan pada hari tersebut dimulai serentak pada jam 3 petang.
Sumber: ESPN