SEORANG lelaki dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah China semalam selepas terlibat dalam insiden menikam dua pegawai kesihatan sehingga terbunuh pada 6 Februari lalu.
Ketika hari kejadian, lelaki berkenaan, Ma Jianguo, 23, sedang memandu mini van melalui pusat pemeriksaan kesihatan bagi kawalan penyebaran COVID-19 di perkampungan Luo Meng di Honghe, barat daya wilayah Yunnan dan ditahan sebentar.
Bagaimanapun, Ma enggan bekerjasama dan penumpang mini van tersebut bertindak mengalihkan sekatan jalan raya, sekaligus pegawai yang bertugas itu merakam tindakannya, kata mahkamah.
Perbuatan itu membuatkan Ma marah lalu menikam pegawai tersebut di dada dan perut dengan sebilah pisau yang dibawa, kemudian menyerang seorang lagi pegawai yang ingin memberi bantuan.
Serangan tersebut mengakibatkan kedua-dua pegawai berkenaan mati akibat cedera parah.
Dalam kenyataan mahkamah, walaupun Ma menyerah diri dan mengaku salah atas perbuatannya secara sukarela, tetapi tindakan tersebut dianggap sangat kejam.
Menurut statistik terkini, virus berkenaan sudah menjangkiti kira-kira lebih 80,000 orang dan telah membunuh hampir 3,000 orang di negara republik itu, menjadikan pemeriksaan suhu dan kediaman terpaksa dilakukan secara meluas serta sekatan perjalanan dan penutupan di seluruh negara dijalankan.
Sumber: New York Post