SINGAPURA, 12 Mac – Menteri Hal Ehwal Islam Singapura, Masagos Zulkifli menyatakan kebimbangan terhadap beberapa kes COVID-19 yang berpunca daripada perhimpunan keagamaan di Malaysia.
Difahamkan beliau merujuk kepada satu perhimpunan jemaah tabligh yang telah diadakan di Masjid Jamek Seri Petaling, Kuala Lumpur, pada 27 Feb hingga 1 Mac lepas.
Memetik sebuah laporan berita, Masagos, yang juga Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air, berkata 95 warga Singapura telah menghadiri perhimpunan itu.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan Singapura kini sedang menyiasat dan mengenal pasti rakyatnya yang menyertai perhimpunan tersebut.
“Jika anda pernah berada di sana, sila lakukan pemeriksaan doktor – untuk melindungi orang yang tersayang dan di sekeliling anda. Sesiapa yang kurang sihat, sila dapatkan rawatan perubatan dengan segera,” katanya menerusi laman Facebooknya, hari ini.
Pada 14 Feb, Masagos berkata semua umat Islam di negara itu yang menunaikan solat di masjid digalakkan membawa sejadah mereka sendiri dan mengelak dari berjabat tangan.
Langkah itu dapat melindungi jemaah daripada koronavirus tetapi dalam masa yang sama tetap boleh menunaikan tanggungjawab pada agama.
Sementara itu Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata berdasarkan maklumat awal, seramai 10,000 orang daripada pelbagai negara termasuk Malaysia telah menyertai perhimpunan tersebut.
Katanya, semua perhimpunan besar-besaran yang dirancang perlu ditangguhkan dan orang ramai adalah dinasihatkan tidak mengunjungi negara yang terjejas akibat COVID-19.
Sumber: Bernama