Semua program tabligh di masjid dan surau di seluruh Selangor diarah ditangguhkan serta-merta susulan daripada penularan wabak Covid-19, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Arahan tersebut turut dikongsikan oleh agensi berita BERNAMA melalui akaun sosial medianya.
Arahan tersebut dikeluarkan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha untuk mencegah dan mengawal risiko penularan virus yang membawa maut ini.
Walau bagaimanapun, Mohd Shahzihan Ahmad berkata bahawa program seperti ceramah, kuliah dan majlis pernikahan masih boleh diteruskan dengan mengutamakan langkah pencegahan dan kawalan.
Terdahulu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah mengambil keputusan membatalkan solat jumaat pada hari ini di seluruh negeri itu dan menggantikannya dengan solat zohor di rumah.
Keputusan tersebut dibuat berikutan hasil perbincangan dan nasihat daripada pihak KKM mengenai penularan kes wabak Covid-19 yang berlaku kini.
Sumber: BERNAMA/Selangor Kini