Covid-19: Sembilan Kluster Baharu Dikesan – KP Kesihatan

Edayu

PUTRAJAYA, 19 Jan (Bernama) — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti sembilan kluster baharu COVID-19, dengan empat daripadanya melibatkan kluster tempat kerja, dua perjumpaan keluarga, satu dari majlis perkahwinan, manakala selebihnya melibatkan saringan kontak rapat dan saringan individu bergejala.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 3,631 kes positif baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes positif di Malaysia kini 165,371 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan tujuh merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala penularan dalam negara adalah 3,624 kes. Bagi kes penularan di dalam negara, 2,754 kes melibatkan warganegara Malaysia manakala 870 kes adalah bukan warganegara,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Menurutnya kes aktif dengan kebolehkjangkitan COVID-19 pula adalah 39,464 kes, dan ketika ini 238 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi, dengan 96 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Kes sembuh COVID-19 hari ini pula ialah sebanyak 2,944 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh di negara ini ialah 125,288 kes atau 75.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

MAKLUMAT TERKINI BERKAITAN KLUSTER-KLUSTER

Sehingga 19 Januari 2021, terdapat sebanyak 669 kluster telah dilaporkan termasuk sembilan (9) kluster baharu pada hari ini. Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 364 kluster, termasuk tiga (3) kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Tapak Bina Jalan Tengah, Kluster Inten dan Kluster Jambatan B. Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 305 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 81 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini. Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok (217 kes), Kluster Jalan Selayang (188 kes), dan Kluster Pasai (90 kes).

KLUSTER BAHARU

KKM juga ingin memaklumkan terdapat sembilan (9) kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini iaitu:

KLUSTER PENJARA JALAN SUNGAI JELOK

Kluster pusat tahanan ini melibatkan daerah Hulu Langat di Selangor. Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 19 Januari 2021 hasil saringan bersasar di Penjara Wanita Kajang di Jalan Sungai Jelok, Kajang, Selangor. Sehingga 19 Januari 2021, sejumlah 439 individu telah disaring, di mana 217 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

KLUSTER JALAN MASJID

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Lembah Pantai dan Kepong di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 11 Januari 2021 hasil saringan bersasar di sebuah syarikat tekstil di Jalan Masjid India, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sehingga 19 Januari 2021, sejumlah 120 individu telah disaring, di mana 16 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

KLUSTER JALAN TARUKA

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Johor Bahru di Johor. Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 19 Januari 2021 hasil saringan bersasar di sebuah kilang di Jalan Taruka, Kawasan Perindustrian Tampoi, Johor Bahru . Sehingga 19 Januari 2021, sejumlah 108 individu telah disaring, di mana 38 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

KLUSTER TAMAN SAYONG PINANG

Kluster ini melibatkan daerah Kota Tinggi di Johor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-128014) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 7 Januari 2021 hasil saringan kontak rapat. Kluster ini melibatkan sebuah majlis perjumpaan keluarga yang terletak di Taman Sayong Pinang, Kota Tinggi, Johor. Sehingga 19 Januari 2021, sejumlah 104 individu telah disaring, di mana 18 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

KLUSTER SRI GADING

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Batu Pahat di Johor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-154009) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 16 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala. Kluster ini melibatkan sebuah kilang tekstil yang terletak di Kawasan Perindustrian Sri Gading, Johor. Sehingga 19 Januari 2021, sejumlah 48 individu telah disaring, di mana tujuh (7) kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

KLUSTER RAKUT

Kluster ini melibatkan daerah Miri di Sarawak. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-144279) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 13 Januari 2021 hasil saringan kontak rapat. Kluster ini melibatkan sebuah majlis perkahwinan yang diadakan di Sungai Rakut, Jalan Kampung Bakam, Miri, Sarawak. Sehingga 19 Januari 2021, sejumlah 33 individu telah disaring, di mana 10 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

KLUSTER KUPANG

Kluster ini melibatkan daerah Baling di Kedah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-154612) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 16 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala. Nama kluster merujuk kepada lokaliti di mana kes-kes berlaku dalam kluster ini iaitu di Mukim Kupang, Baling. Sehingga 18 Januari 2021, sejumlah 54 individu telah disaring, di mana 14 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

KLUSTER KEBOR AIR

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu, dan Dungun di Terengganu. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-155009) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 16 Januari 2021 hasil saringan kontak rapat. Kluster ini melibatkan dua institusi pengajian awam di Kuala Terengganu. Nama kluster merujuk kepada lokaliti rumah kes indeks di Kampung Kebor Air, Manir, Kuala Terengganu. Sehingga 19 Januari 2021, sejumlah 264 individu telah disaring, di mana 18 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

KLUSTER RANTAU CEMPAKA

Kluster ini melibatkan daerah Maran di Pahang dan daerah Hulu Langat di Selangor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-132010) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 9 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala. Kluster ini melibatkan perhimpunan keluarga di Kampung Felda Cempaka Jengka 2, Pahang. Sehingga 19 Januari 2021, sejumlah 57 individu telah disaring, di mana 14 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

–BERNAMA