Dengan beratus ribu kes baharu yang dicatatkan setiap hari, India kini menjadi negara yang paling teruk dilanda wabak COVID-19. Ditambah pula dengan varian virus yang baharu, ia terus tersebar dengan meluas.
Suasana pilu dan suram menyelubungi negara itu apabila ramai di antara pesakit COVID-19 yang tidak dapat diselamatkan kerana tidak mendapat akses rawatan yang sempurna. Ini termasuk bekalan oksigen yang mencukupi.
Ada di antara mereka yang hanya terlantar di luar hospital kerana jumlah katil yang tidak mencukupi untuk menampung semua pesakit.
Bukan itu sahaja, petugas perubatan juga ketika ini pastinya menghadapi saat getir di mana perlu merawat ribuan pesakit sejak virus COVID-19 merebak dengan meluas.

Mereka juga perlu melakukan beberapa keputusan yang sukar iaitu untuk memutuskan siapa yang akan hidup dan siapa yang akan meninggal dunia.
Seperti yang perlu dilakukan oleh Rohan Aggarwal yang bertugas di bilik kecemasan di hospital New Delhi.
Doktor berusia 26 tahun ini bahkan tidak menyelesaikan latihan perubatannya hingga tahun depan. Dia bertanggungjawab menentukan mengenai hidup dan mati pesakit di bilik kecemasan tersebut.

“Siapa yang harus diselamatkan, siapa yang tidak diselamatkan perlu dilakukan oleh Tuhan.
“Kita hanya manusia biasa dan tidak layak untuk melakukannya. Tetapi, kali ini nampaknya kita ‘bertanggungjawab’ untuk melakukannya,” kata Aggarwal.
Dia juga mengatakan bahawa dia takut dijangkiti kerana katil di hospitalnya sudah tidak ada.


Menurut Reuters, apabila Aggarwal memulakan kerja pada sekitar jam 9 pagi, empat mayat dilihat bergelimpangan di bilik yang sepatutnya menjadi lokasi petugas menukar pakaian perlindungan mereka.
Di bilik kecemasan, keadaan semakin sempit. Pesakit dan saudara-mara mengerumuni setiap ruang yang ada, ramai yang tidak memakai pelitup muka. Tidak cuma itu, doktor dan jururawat juga berhenti memakai peralatan perlindungan sepenuhnya kerana terlalu sukar untuk bekerja.
Sebelum memulakan tugasnya di bilik kecemasan itu, Aggarwal terlebih dahulu membuat rondaan di wad COVID-19 umum. Bersama dengan rakan sekerja yang lain, dia bertanggungjawab untuk memeriksa 65 pesakit.
“Ini benar-benar suasana yang menyedihkan,” katanya.
Sumber: Reuters