Pelabuhan Klang: Kerajaan Selangor menangguhkan semua program berskala besar anjurannya serta-merta hari ini susulan wabak COVID-19 diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata antara program yang ditangguhkan ke suatu tarikh baharu yang ditentukan kemudian adalah Karnival Tanah Selangor 2020 dan Selangor Job Fair 2020, dijadual hujung minggu ini.
”Pihak swasta di negeri ini juga dinasihatkan supaya tangguhkan dahulu program yang tidak terlalu kritikal untuk diadakan kerana peningkatan berganda kes COVID-19 ketika ini dan ia, mempunyai potensi besar untuk terus menular,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke Westports Malaysia, di sini, hari ini.
Katanya, jika masih ada mana-mana pihak yang ingin menganjurkan sebarang aktiviti maka mereka, terlebih dahulu disaran mendapatkan pandangan dan nasihat daripada Jabatan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.
Ditanya mengenai Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang dijadualkan berlangsung selama dua minggu bermula Isnin ini, Amirudin berkata ia tetap diteruskan dengan langkah kawalan kesihatan diperketatkan.
Katanya, antaranya pemeriksaan suhu badan selain penyediaan cecair pembunuh kuman atau ‘hand sanitizer’ serta penutup hidung dan mulut untuk kegunaan semua yang terlibat.
Sumber: Bernama