
PUTRAJAYA, 24 Nov – Selangor mencatatkan rekod kes positif harian paling tinggi pada hari ini dengan 1,623 kes bersamaan 74.2 peratus daripada keseluruhan kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebahagian besar daripada kes di negeri tersebut adalah daripada Kluster Teratai dengan pertambahan sebanyak 1,511 kes (bersamaan 5.1 peratus).
Selain itu, kenaikan kes hari ini turut berkait rapat dengan kluster-kluster yang dikesan di tempat kerja dengan melibatkan 119 kluster.
“Peningkatan kes mendadak di negeri-negeri Lembah Klang secara amnya dan di negeri Selangor secara khususnya kebelakangan ini adalah berkait rapat dengan kluster-kluster di tempat kerja.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 36 kluster telah diisytiharkan tamat manakala 83 buah kluster lagi masih aktif sehingga ke hari ini.
“Sejumlah 77,201 individu telah disaring di mana sebanyak 12,079 kes telah didapati positif COVID-19.
“Ini melibatkan 4,398 kes warganegara dan 7,681 kes adalah bukan warganegara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Difahamkan, pasukan perubatan dan kesihatan awam bantuan telah digerakkan ke kawasan yang terlibat bagi membantu segala aktiviti kawalan dan pencegahan termasuk saringan secara besar-besaran.
Berikut adalah lima (5) kluster berkaitan tempat kerja yang melaporkan kes tertinggi sejak bermulanya pandemik COVID-19 di negara kita.

Sumber: KP Kesihatan