LABUAN, 30 Mei — Polis mendapati terdapat beberapa orang yang dikuarantin di hotel di sini melanggar peraturan dengan keluar membeli rokok dan menghisap rokok, serta berjumpa rakan dari luar di lobi premis itu yang dijadikan fasiliti kuarantin bagi COVID-19.
Ketua Polis Labuan Muhammad Farid Ahmad berkata selepas membuat pemeriksaan di hotel, pihaknya telah merekodkan maklumat mereka yang terlibat dan akan menyerahkan kepada Jabatan Kesihatan untuk tindakan selanjutnya termasuk mengenakan kompaun.
“Mereka ini ialah kakitangan teknikal dan operasi dalam sektor minyak dan gas yang telah menamatkan tugas masing-masing tetapi perlu menjalani kuarantin 14 hari di hotel yang dijadikan kemudahan kuarantin sebelum dibenarkan pulang ke rumah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata kira-kira 15 hotel diperiksa malam tadi dan mendapati 41 penghuni yang sedang dikuarantin telah melanggar peraturan.
“Terdapat pesakit di bawah pengawasan yang ditempatkan di hotel dijadikan kemudahan kuarantin tidak berada di dalam bilik mereka semasa pemeriksaan dilakukan kira-kira pukul 8.00 malam hingga 10.00 malam, mereka telah keluar dari bilik tanpa kebenaran dan menimbulkan risiko kesihatan kepada mereka dan orang di sekeliling,” katanya.
Dr Ismuni berkata tujuh kompaun dikenakan terhadap pesakit di bawah pengawasan dan pemerhatian manakala 34 orang diberikan amaran terakhir kerana melanggar peraturan kuarantin di bawah Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 .
Dalam operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) malam tadi, beliau berkata tujuh premis makanan dikenakan amaran kerana melanggar garis panduan jarak sosial.
“Kami mendapati premis berkenaan tidak mengikuti SOP dalam susunan meja menyebabkan pelanggan mereka duduk berdekatan antara satu sama lain,” katanya.
Sumber: Bernama