Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa pengembara yang pulang dari Arab Saudi diminta untuk memakai peranti digital.
Ia susulan daripada penularan jangkitan varian Omicron yang dikesan dari pengembara yang baru pulang dari Arab Saudi dengan 30 kes dicatatkan setakat ini.
“Bagi mereka yang baru pulang dari Arab Saudi pada minggu depan, tertakluk kepada pelaksanaan supaya mereka pakai peranti digital atau tracker untuk kita memastikan bahawa mereka patuh duduk di rumah,” katanya dalam sidang media pagi tadi.
Menurutnya, sebahagian besar mereka yang baru pulang dari negara itu termasuk yang mengerjakan umrah tidak patuh pada pengasingan daripada ahli keluarga.
“Mereka akan bergaul dengan keluarga mereka, menerima tetamu daripada jiran tetangga dan mungkin ada yang nak salam ambil berkat tapi salam ambil omicron, ” katanya.
Justeru, mereka dinasihatkan agar tidak keluar daripada bilik, tidak bergaul dengan ahli keluarga yang lain dan tidak menerima kunjungan daripada saudara-mara dan sebagainya sepanjang tempoh kuarantin di rumah.
Dalam pada itu beliau juga berkata kemungkinan Omicron berada dalam komuniti agak tinggi kerana kes di Sarawak semala yang melibatkan seorang lelaki berusia 38 tahun tidak ada sejarah perjalanan ke luar negara. Kes-kes varian Omicron ini dijangka akan terus meningkat.
Jumlah kumulatif kes COVID-19 varian Omicron setakat ini adalah sebanyak 62 kes iaitu 61 kes jangkitan import dan satu kes di Sarawak yang disyaki jangkitan tempatan.
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia