Labuan: Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terletak di tingkat bawah Kompleks Taman Kewangan di sini telah ditutup buat sementara hari ini untuk kerja-kerja disinfeksi ruang pejabat, kaunter dan kawasan sekitar.
Pengurus KWSP Labuan Gilbert Jokual dalam satu kenyataan menyebut pejabat itu dijangka beroperasi semula esok (13 Mac).
Penutupan itu merupakan prosedur operasi standard dalaman bagi membolehkan kontraktor yang dilantik melakukan kerja-kerja pembersihan.
”Kerja-kerja pembersihan sedang dilaksanakan sebagai langkah pencegahan memandangkan kaunter kami adalah tempat paling terdedah dan sentiasa dikunjungi pelanggan di semua peringkat,” katanya.
Sumber: Bernama