KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) — Malaysia semakin diasak mimpi ngeri lonjakan 10 ribu kes harian baharu setelah tiga hari berturut-turut mencatat kes melepasi tujuh ribu pada Selasa (25 Mei), Rabu (26 Mei) dan semalam.
Ini ditambah penularan varian baharu COVID-19 (VOC) yang lebih ganas serta kluster baharu yang masih terus dilaporkan berlaku terutamanya di tempat kerja yang semakin membimbangkan.
Di sebalik penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 12 Mei 2021, sebanyak 115 kluster tempat kerja dengan 5,392 kes dilaporkan sehingga 26 Mei 2021 dan lebih separuh (62 kluster) melibatkan sektor pengilangan.
Semalam (27 Mei 2021), sebanyak 20 kluster baharu dilaporkan dan tujuh daripadanya adalah kluster tempat kerja yang kebanyakannya kilang.
Sementara itu, setakat 23 Mei lepas, negara mencatat 12 kes baharu varian Afrika Selatan B.1.351 di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Johor, menjadikan jumlahnya 78 kes. Satu kes baharu varian India B.1.617 dikesan di Wilayah Persekutuan Labuan, menjadikan jumlah enam (6) kes.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan empat VOC sebagai kebimbangan global iaitu United Kingdom, Afrika Selatan, Brazil dan India.
WHO baru-baru ini menyatakan Varian B1617 (India) setakat ini ditemui di 60 wilayah dan negara, sementara Varian B117 ditemui di 149 negara dan wilayah, B1351 pula dikesan di 102 negara dan wilayah manakala varian dari Brazil dikenal pasti di 59 negara dan wilayah.
Sehingga pukul 12 tengah hari Khamis 27 Mei 2021, Malaysia menambah sebanyak 7,857 lagi kes harian baharu COVID-19, yang tertinggi sejak kes positif pertama COVID-19 dikesan di negara ini pada 25 Januari 2020.
Selangor kekal menjadi penyumbang terbesar, sebanyak 2,675 kes, diikuti Sarawak 772 kes dan Kelantan 754 kes.
Pada Selasa 25 Mei, kes harian baharu COVID-19 direkod sebanyak 7,289 kes sementara pada Rabu 26 Mei, meningkat kepada 7,478 kes. Pada kedua-dua hari ini, Selangor menyumbang kes harian baharu terbanyak iaitu 2,642 kes (Selasa) dan 2,455 kes (Rabu).
Kes kumulatif yang direkod semalam adalah sebanyak 541, 224 kes sementara kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 menghampiri 70 ribu iaitu 69,408 kes.
Berikut adalah rekod kes harian baharu yang dicatat sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama 22 Mei hingga 27 Mei 2021:-
22 Mei (6,320 kes), 23 Mei ( 6,976 kes), 24 Mei ( 6,509 kes), 25 Mei (7.289 kes), 26 Mei ( 7.478 kes ) dan 27 Mei (7,857 kes).
Bilangan pesakit yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) terus meningkat, begitu juga bilangan pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan. Setakat Khamis 27 Mei 2021, sebanyak 771 kes direkod di ICU dan 392 daripada memerlukan bantuan pernafasan.
Sebagai langkah siapsiaga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terpaksa meminta hospital swasta untuk menambah katil ICU selain turut menggunakan Ordinan Darurat Seksyen 3 iaitu mengambil alih hospital baharu yang belum digunakan seperti Hospital Cyberjaya dan Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk merawat pesakit COVID-19.
Dengan 541,224 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 41 dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik COVID-19. Di hadapan Malaysia ialah Nepal dengan 542,256 kes dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 563,215 kes.
KES KEMATIAN MEMBIMBANGKAN
Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam kenyataan akhbar KPK mengenai Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia pada Khamis 27 Mei 2021 melaporkan 59 lagi kes kematian, menjadikan kes kumulatif sebanyak 2,491 kes. Kesemua kes melibatkan warganegara.
Daripada 59 kes, sebanyak 19 kes di Selangor, sembilan (9) kes di Sarawak, tujuh (7) kes di Johor, enam (6) kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, lima (5) kes di Kelantan, empat (4) kes di Negeri Sembilan, tiga (3) kes di Pulau Pinang, dua (2) kes di Kedah, serta masingmasing satu (1) kes di Sabah, Melaka, Perak, dan Terengganu.
Kes tertinggi kematian direkod pada Rabu 26 Mei 2021 iaitu 63 kes terdiri daripada 57 orang warganegara dan enam (6) orang bukan warganegara. Daripada jumlah itu, kes mayat dibawa ke hospital (Brought In Dead/BID) sebanyak 12 kes. Menurut KKM, kes BID merujuk kepada kes kematian di luar hospital dan kematian ini disahkan disebabkan COVID-19 selepas proses bedah siasat.
Pada 25 Mei, pesakit COVID-19 paling muda yang dilaporkan meninggal dunia pada hari berkenaan berusia tiga tahun dari Sabah yang juga menghidap leukemia.
Untuk rekod, kes kematian sepanjang tempoh rangkuman 22 Mei hingga 27 Mei 2021 :-
22 Mei – 50 kes (48 WN 2 BWN), 23 Mei – 49 kes (48 WN 1 BWN), 24 Mei – 61 kes (61 WN), 25 Mei – 60 kes (59WN 1 BWN), 26 Mei – 63 kes (57 WN 6 BWN) dan 27 Mei – 59 kes (59 WN).
*WN = warganegara *BWN = bukan warganegara
Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun 2021. Larangan rentas daerah dan negeri juga dikuatkuasakan kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi dan pasangan jarak jauh.
KES MELIBATKAN WARGANEGARA
Sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama (22 Mei hingga 27 Mei 2021), penularan tempatan kes COVID-19 di Malaysia melibatkan warganegara masih pada kadar 90 peratus.
Rekod KKM semalam (27 Mei) menunjukkan, daripada 7,857 kes baharu, sebanyak 7,849 adalah kes penularan tempatan sementara lapan (8) kes lagi adalah kes import (2 warganegara dan 6 bukan warganegara).
Sebanyak 93.5 peratus daripada kes penularan tempatan atau 7,340 melibatkan warganegara dan 509 kes (6.5 peratus) bukan warganegara.
Berikut adalah data yang menunjukkan keseluruhan situasi kes baharu, kes kumulatif dan kes import, berdasarkan makluman KKM:-
Sabtu 22 Mei – Kes baharu : 6,320 kes (505,115 kes kumulatif); Kes import : 3 kes (3 bukan warganegara); Kes tempatan : 6,317 kes ;
Ahad 23 Mei – Kes baharu :6,976 kes (512,091 kes kumulatif); Kes import : 5 kes (1 warganegara dan 4 bukan warganegara); Kes tempatan : 6,971 kes ;
Isnin 24 Mei – Kes baharu : 6,509 kes (518,600 kes kumulatif);Kes import : 20 kes (17 warganegara, 3 bukan warganegara); Kes tempatan : 6,489 kes ;
Selasa 25 Mei – Kes baharu : 7,289 kes (525,889 kes kumulatif); Kes import : 4 kes (1 warganegara, 3 bukan warganegara); Kes tempatan : 7,285 kes ;
Rabu 26 Mei – Kes baharu : 7,478 kes (533,367 kes kumulatif); Kes import : 5 kes (5 bukan warganegara); Kes tempatan : 7,473 kes ;
Khamis 27 Mei – Kes baharu : 7,857 kes (541,224 kes kumulatif); • Kes import : 8 kes (2 warganegara, 6 bukan warganegara); • Kes tempatan : 7,849 kes .
Setakat 27 Mei 2021, sebanyak 4,598 kes sembuh dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes pesakit yang pulih daripada COVID-19 kini 469,325 kes (86.7 peratus).
Sementara rekod kes sembuh harian sepanjang tempoh rangkuman ini:-
22 Mei ( 4,694 kes ), 23 Mei ( 3,587 kes), 24 Mei ( 3,452 kes), 25 Mei ( 3,789 kes), 26 Mei ( 4,665 kes) dan 27 Mei (4,598 kes).
KLUSTER HARI RAYA, KLUSTER BAHARU
Dua minggu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, iaitu sehingga 25 Mei 2021, KKM merekodkan 12 kluster komuniti (sub-kluster hari raya), melibatkan tujuh buah negeri. Menurut Dr Noor Hisham, kluster berkenaan melibatkan 470 kes COVID-19 daripada 2,541 individu yang disaring.
Satu kes dilaporkan meninggal dunia melibatkan Kluster Jalan Tahir Manan di Selangor dan dua kes di ICU, melibatkan Kluster Simpang Sahari di WP Labuan.
Dr Noor Hisham berkata jumlah kes yang ada kaitan dengan kluster hari raya dijangka bertambah dan mungkin melibatkan lebih banyak negeri.
Sementara itu, sehingga Khamis 27 Mei 2021, sebanyak 20 lagi kluster baharu dilaporkan, dan butiran kluster baharu seperti berikut:-
22 Mei – 17 kluster ( 7 kluster tempat kerja, 7 kluster komuniti, 2 kluster keagamaan dan 1 kluster kumpulan berisiko tinggi);
23 Mei – 24 kluster (9 kluster tempat kerja, 8 kluster komuniti, 6 kluster keagamaan dan 1 kluster kumpulan berisiko tinggi);
24 Mei –20 kluster (8 kluster tempat kerja, 6 kluster komuniti, 3 kluster keagamaan, 1 satu kluster pendidikan, 1 kluster import dan 1 kumpulan berisiko tinggi);
25 Mei – 15 kluster (10 kluster tempat kerja, 4 kluster komuniti, 1 kluster keagamaan);
26 Mei – 22 kluster (13 kluster tempat kerja, 6 kluster komuniti, 3 kluster keagamaan);
27 Mei – 20 kluster (7 kluster tempat kerja, 8 kluster komuniti, 3 kluster keagamaan, 1 kluster pendidikan dan 1 kluster pusat tahanan).
Untuk rekod, kluster pusat tahanan yang dilaporkan semalam melibatkan kluster DTI Tanah Merah, Kelantan dan sebanyak 105 kes positif dikesan daripada 372 individu yang disaring.
Antara KTK yang mencatat kes COVID-19 yang besar ketika diumumkan ialah Kluster Industri Pengkalan Balak, di Alor Gajah, Melaka, melibatkan 145 kes positif daripada 641 individu yang disaring.
Secara keseluruhannya sehingga 27 Mei 2021, negara merekod sebanyak 2,102 kluster dan 1,498 daripadanya ditamatkan, sementara 604 kluster masih aktif.
Sementara itu, Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan di Facebook peribadinya pada 27 Mei 2021 mengumumkan, kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 27 Mei 2021 untuk seluruh negara kekal 1.14 . Negeri mencatat Ro tertinggi ialah WP Labuan 1.87, Negeri Sembilan 1.27 dan Sabah 1.26.
R-Naught (Ro/Rt) iaitu kebolehjangkitan satu kes positif COVID-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan sepanjang tempoh rangkuman Bernama secara konsistennya berada pada kadar lebih 1.0. Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.
PERINCIAN KES COVID-19 DI MALAYSIA
Berdasarkan perincian KKM untuk 7,857 kes harian baharu COVID-19 yang dilaporkan KKM pada Khamis 27 Mei 2021, Selangor terus mencatat kes tertinggi empat angka iaitu 2,675 kes.
Sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan ini, kes harian baharu COVID-19 di Selangor adalah seperti berikut:-
22 Mei (1,647 kes), 23 Mei (2,235 kes), 24 Mei (2,049 kes), 25 Mei (2,642 kes), 26 Mei (2,455 kes) dan 27 Mei (2,675 kes).
Kes harian baharu tiga angka – Sarawak 772 kes, Kelantan 754 kes, WP Kuala Lumpur 561 kes, Johor 549 kes, Kedah 441 kes, Pulau Pinang 365 kes, Negeri Sembilan 353 kes, Terengganu 282 kes, Pahang 238 kes, Melaka 234 kes, Perak 228 kes, Sabah 217 kes dan WP Labuan 170 kes.
Kes harian baharu dua angka – WP Putrajaya 12 kes.
Kes harian baharu satu angka – Perlis 6 kes.
STATISTIK GLOBAL COVID-19
Jumlah kes COVID-19 global terkini (worldometer) adalah 169,632,561 kes (rangkuman minggu lalu 165,889,188 kes) dengan 3,525,113 kes kematian (minggu lalu 161,929,910 kes kematian). Jumlah pesakit sembuh seramai 151,337,721 kes (minggu lalu 139,775,441 orang).
Sebanyak 216 negara dilanda pandemik COVID-19 dan 10 buah negara teratas dalam kedudukan senarai ini adalah Amerika Syarikat, India, Brazil, Perancis, Turki, Rusia, United Kingdom, Itali, Jerman dan Argentina.
Pecahan kes COVID-19 dan jumlah kematian adalah seperti berikut:-
Amerika Syarikat 33,999,680 kes (607,726 kematian);
India 27,547,705 kes (318,821 kematian);
Brazil 16,342,162 kes (456,753 kematian);
Perancis 5,635,629 kes (109,165 kematian);
Turki 5,220,549 kes (46,970 kematian);
Rusia 5,035,207 kes (120,002 kematian);
United Kingdom 4,473,677 kes (127,758 kematian);
Itali 4,205,970 kes (125,793 kematian);
Jerman 3,673,969 kes (88,689 kematian);
Argentina 3,663,215 (76,135 kematian).
Negara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat 98 dengan 91,045 kes. Angka kematian kekal 4,636.
Di samping Malaysia, dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Indonesia, Filipina dan Myanmar turut menyertai senarai 92 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes COVID-19.
Indonesia di tangga 18 – 1,797,499 kes (49,907 kematian);
Filipina di tangga 24 – 1,200,430 kes (20,379 kematian);
Thailand di tangga 83 – 144,976 (954 kematian)
Myanmar di tangga 84 – 143,414 kes (3,216 kematian);
Singapura di tangga 105 – 61,940 kes (32 kes kematian);
Kampuchea di tangga 123 – 27,638 kes (194 kematian);
Vietnam di tangga 165 – 6,356 kes (46 kematian);
Laos di tangga 189 – 1,895 kes ( 2 kematian);
Brunei di tangga 203 -241 kes (3 kematian).
————————————————————————————————————–
RUANGAN SISI
LATAR BELAKANG COVID-19
— Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.
— Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut.
— Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.
— WHO memberi nama rasmi virus “2019-nCoV” iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.
— Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.
— Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.
— Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.
— WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).
— Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.
— Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.
— Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.
— Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai COVID-19.
— Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).
— Di UK, varian baru COVID-19 yang dikenali sebagai B117 dilaporkan 70 peratus lebih mudah merebak. Mula dikesan pada September 2020.
— Afrika Selatan juga mengenalpasti varian baharu novel coronavirus, dirujuk sebagai “501Y.V2”. pada awal Oktober 2020.
Sumber: BERNAMA