JERANTUT, 29 Sept – Masjid Tengku Ahmad Jerantut (MTAJ) di sini diarah tutup selama 14 hari bagi mencegah penularan dan memutuskan rantaian COVID-19.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jerantut memaklumkan, ia adalah salah satu daripada lapan arahan jawatankuasa tersebut berikutan empat kes positif baharu dikesan dari 25 hingga 27 September kelmarin di daerah itu.
Dalam masa sama, Surau Al-Muflihin di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Peringkat 3 dan 4 juga ditutup selama 14 hari.
“Semua aktiviti pekan sehari, pasar malam, penganjuran majlis keramaian, kenduri-kendara dan program berskala besar ditangguhkan selama 14 hari.
Tidak kurang juga, semua taska dan tadika di kawasan PAKR Bandar Baru Jerantut dan PAKR 3 dan 4 juga ditutup untuk tempoh yang sama, jelas makluman tersebut dalam satu kenyataan semalam.
Selain itu, semua premis makanan bermasak di kedua-dua kawasan PAKR terbabit hanya dibolehkan menjual makanan dan minuman secara berbungkus sahaja (take away).
Mengulas lanjut, kenyataan itu turut memaklumkan bahawa kelas-kelas terlibat bagi kes kontak rapat kepada kes positif yang hadir ke sekolah sebelum pengesanan dibuat juga akan ditutup.
“Semua pusat riadah dan rekreasi di lokasi yang tidak menjamin penjarakan fizikal di kawasan bandar Jerantut tidak dibenarkan beroperasi selama 14 hari termasuklah Padang FA, Bukit Seladang, Bukit Panau, Bukit Merah, Via-Feratta Paya Gunung dan Taman Tasik Teratai.
“Dan Taklimat Pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 kepada pembanci yang dijadualkan pada 1 hingga 5 Oktober juga turut ditangguhkan,” tambah kenyataan itu lagi.
Sebarang pertanyaan boleh hubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di talian 09-2661641 (10 pagi hingga 5 petang), manakala maklumat khusus berkenaan COVID-19 pula boleh hubungi Bilik Gerakan, Pejabat Kesihatan Daerah di talian 09-2662744 (8 pagi hingga 5 petang).
Kedua-dua PKOB dan Bilik Gerakan tersebut dibuka termasuk pada hujung minggu dan cuti pelepasan am.

Sumber: Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut