KUALA LUMPUR, 24 Dis — Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan ia telah mengambil semua langkah penting dalam menjangkakan beberapa unjuran yang dilakukan oleh pelbagai organisasi antarabangsa mengenai situasi pendemik COVID-19 di Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam kenyataan hari ini berkata pada fasa awal pandemik, JP Morgan dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) meramalkan jumlah kes COVID-19 pada pertengahan April akan meningkat antara 5,000 dan 8,000 secara kumulatif.
Berikutan itu katanya, pelbagai intervensi kesihatan awam dilakukan menyebabkan bilangannya lebih rendah berbanding ramalan badan tersebut dan pada hakikatnya, jumlah kes yang dilaporkan hanyalah 4,987.
“Pada November, Imperial College United Kingdom mengunjurkan kes harian baharu yang dikesan di Malaysia antara 4,000 hingga 7,000 pada November dan Disember. Bagaimanapun dengan pelbagai intervensi yang dijalankan kerajaan, kes harian baharu hanya mencecah 1,000 hingga 2,000 sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada artikel berita, Putrajaya Bracing for the Worst as Lack of Beds, Manpower Threatens COVID Battle, yang disiarkan dalam portal berita hari ini.
Sumber: BERNAMA