Covid-19: Kakitangan Penjara Bentong, Keluarga Dikuarantin Sehingga Disahkan Negatif

Edayu

KUANTAN, 30 Dis – Semua kakitangan Penjara Bentong dan ahli keluarga masing-masing akan dikuarantin serta-merta sehingga proses saringan COVID-19 selesai dan mereka disahkan negatif susulan pengisytiharan Kluster Tembok Mempaga semalam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu diambil bagi mengekang risiko penyebaran daripada kluster tersebut kepada komuniti.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bentong akan memastikan kebajikan dan keperluan harian petugas penjara serta keluarga mereka yang dikuarantin ini sentiasa terjaga,” menurut kenyataan itu.

Risiko jangkitan daripada kluster itu adalah rendah buat masa ini dan hanya melibatkan penghuni di dalam penjara.

Kenyataan itu turut memaklumkan kebanyakan penjara di Semenanjung Malaysia tidak dapat menerima tahanan kerana berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

Justeru, tahanan mahkamah di Lembah Klang termasuk Petaling Jaya, Selangor iaitu kawasan zon merah terpaksa dihantar ke Pusat Transit Tahanan (PTP) atau Penjara Bentong.

Semalam, Pahang mencatatkan 288 kes dengan 282 merupakan jangkitan dalam kalangan kontak rapat seorang tahanan baharu yang dipindahkan ke Penjara Bentong.

— BERNAMA