Menteri Kesihatan Jerman, Jens Spahn mengatakan lockdown yang dilakukan sebelum ini telah menyebabkan wabak COVID-19 di negara tersebut berada dalam keadaan terkawal.
Beliau juga memberitahu sejak 12 April yang lalu, jumlah pesakit yang pulih secara konsistennya lebih tinggi daripada jumlah kes jangkitan baru.
Menurut BBC News, kadar jangkitan di Jerman telah menurun menjadi 0.7 dan sebanyak 3,868 orang telah meninggal dunia kerana COVID-19 iaitu lebih sedikit berbanding negara Itali, Sepanyol atau Perancis.
Namun, jumlah kematian masih meningkat di Jerman, begitu juga dengan jumlah pekerja kesihatan yang dijangkiti.
Sehingga hari ini, hampir 134,000 orang telah dijangkiti oleh virus tersebut di Jerman.
Pada hari Rabu yang lepas, Canselor Angela Merkel mengumumkan langkah tentatif untuk memulakan pengurangan sekatan tersebut. Beberapa kedai yang lebih kecil akan dibuka semula pada minggu depan. Sekolah pula akan dibuka semula pada awal Mei, ini untuk memberi tumpuan kepada pelajar kerana mereka akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi.
Buat masa ini, kemudahan sukan dan rekreasi, serta kafe dan restoran, masih tidak dibenarkan untuk beroperasi.
Rangkaian makmal diagnostik di Jerman dipuji di peringkat antarabangsa kerana telah bertindak pantas terhadap wabak tersebut. Pada awal April, Jerman telah melakukan lebih daripada 100,000 ujian swab setiap hari, yang membolehkan lebih banyak pembawa coronavirus dikesan berbanding negara-negara Eropah yang lain.
Sumber: BBC News