Gambar : Google

Covid-19: Hanya Dalam Masa Sehari, Wilayah Hubei Catat 242 Kematian

Sha Rossa

Pihak berkuasa kesihatan Hubei melaporkan terdapat 242 kematian akibat jangkitan COVID-19 di wilayah tersebut pada Rabu, menjadikan angka kematian di pusat penularan wabak itu meningkat kepada 1,310 orang.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian di Tanah Besar China seramai 1,355 dan secara global 1,357 melibatkan satu kematian masing-masing di Hong Kong dan Filipina.

Pihak berkuasa Hubei turut mengesahkan terdapat pertambahan 14,840 kes positif jangkitan di Hubei pada Rabu, sekaligus menjadikan jumlah kes di wilayah itu meningkat kepada 48,206.

Menurut laporan, jumlah 14,840 kes itu adalah termasuk kedua-dua kes ujian yang disahkan dan kes yang didiagnosis secara klinikal.

Pihak kerajaan menjelaskan mereka kini telah menambah ”kes yang didiagnosis secara klinikal” bagi memudahkan pesakit menerima rawatan awal.

Berdasarkan rekod, terdapat 33,693 pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di hospital di Hubei.

Daripada jumlah itu, seramai 1,437 pesakit berada dalam keadaan kritikal manakala 3,441 pesakit dilaporkan telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital.

Jumlah kes COVID-19 setakat ini telah mencecah 60,015 orang dengan keseluruhan besar adalah dari Tanah Besar China.

Sumber : CNN