Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa sehingga 18 November 2020, secara kumulatif terdapat 1,771 kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan petugas kesihatan.
Sebanyak 1,359 (76.7 peratus) kes-kes tersebut berlaku semasa gelombang ketiga pandemik COVID-19, termasuk 43 kes baharu yang dilaporkan pada hari ini.
Lima kumpulan petugas kesihatan yang melaporkan kes jangkitan COVID-19 tertinggi sejak bermulanya pandemik ialah Jururawat dengan 690 kes, Pegawai Perubatan dengan 211 kes, Pembantu Perawatan Kesihatan dengan 146 kes, Pembantu Pegawai Perubatan dengan 144 kes dan Pegawai Perubatan Siswazah sebanyak 84 kes.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, seramai 280 petugas sedang menerima rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil dengan kadar sembuh sebanyak 84.2% pada hari ini.
Manakala seramai 1,697 petugas kesihatan di seluruh negara sedang menjalani Perintah Pemerhatian dan Pengawasan (Home Surveillance Order – HSO) sama ada di tempat kediaman atau di stesen kuarantin.
Dalam pada itu, KKM juga memaklumkan bahawa kesemua petugas-petugas dan pesakit yang terlibat dengan jangkitan COVID-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan Serdang sedang dirawat di wad dan berada dalam keadaan stabil.
Sumber: Kp Kesihatan