
Sepasang kekasih atau lebih biasa disebut sebagai ‘couple’ ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam beberapa kes pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar Sabak Bernam sejak bulan lepas, lapor Sinar Harian.
Seperti yang dilapor Sinar Harian, selain kekasih yang masing-masing berusia 30-an tersebut, turut sama ditahan secara berasingan ialah empat lagi lelaki berusia antara 17 hingga 54 tahun.
Menurut Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias, segalanya bermula selepas seorang wanita (suspek) ditahan di sebuah rumah di Sungai Air Tawar pada 25 Ogos lepas.
Difahamkan, penahanan suspek wanita terbabit berjaya membongkar kegiatan jenayah yang dilakukan bersama teman lelakinya serta suspek-suspek yang lain di sekitar daerah tersebut.
“Hasil tangkapan lima (lagi) suspek itu, polis berjaya merungkai kegiatan kes pecah rumah dan curi kenderaan didalangi kekasih wanita terbabit yang juga merupakan Orang Pengawasan Polis (OPP).
“Suspek ditahan sepasukan polis kira-kira jam 12 tengahari di sebuah rumah di Kluang, Johor pada 5 September lalu,” katanya.
Agus Salim berkata demikian menerusi sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam seperti yang dilapor Sinar Harian hari ini.

Hasil semakan polis mendapati sebanyak 43 rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan narkotik pernah dimiliki suspek utama.
Selain itu, suspek juga pernah menjalani perintah sekatan buang daerah (PCO) dari Kluang, Johor ke Sabak Bernam pada 20 Disember lalu ekoran penglibatan jenayah yang sama di Kluang.
Bagaimanapun ujarnya, suspek dipercayai kembali aktif melakukan perbuatan jenayah tersebut bersama penduduk tempatan pada Ogos lalu sebelum ditangkap.
Ekoran itu, penangkapan suspek yang dilakukan pihak polis akhirnya berjaya menyelesaikan semua kes jenayah yang berkait.
“Penahanan semua suspek itu berjaya menyelesaikan enam kes pecah rumah dan tiga kes curi kenderaan sepanjang tempoh sebulan lalu,” katanya, memetik Sinar Harian.
Jelas Agus, kesemua nilai barang rampasan ialah berjumlah RM25,000 melibatkan pelbagai barangan curi termasuk dua motosikal dan sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback.
“Semua ditahan menjalani ujian air kencing dan empat daripada mereka termasuk pasangan kekasih didapati positif dadah jenis methamphetamine,” jelasnya mengenai perkara itu.
Katanya, kesemua suspek terlibat disiasat di bawah Seksyen 379A.
Dalam masa sama, kes turut disiasat di bawah Seksyen 15 (2) (f) Akta Pencegahan Jenayah 1959 kerana melanggar syarat pengawasan polis.
Sehubungan itu, semua suspek direman selama lima hari dari tarikh tangkapan dan akan dibawa pertuduhan mahkamah pada 25 Oktober depan.
Sumber: Sinar Harian