SINGAPURA, 11 Feb (Bernama) — Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini mengesahkan dua lagi kes baharu positif novel coronavirus 2019 (2019-nCoV) dikesan di republik itu, menjadikan keseluruhannya kepada 47 kes.
Menurut maklumat terkini MOH, satu daripada kes positif terbaru itu melibatkan seorang lelaki berstatus Penduduk Tetap Singapura yang menetap di Johor Bahru dan bekerja di Resorts World Sentosa Casino, 8 Sentosa Gateway.
Lelaki itu tiada rekod perjalanan ke China baru-baru ini dan dia sekarang ditempatkan di bilik isolasi di Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID), menurut kementerian itu dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu, beliau dilaporkan mengalami gejala itu pada 5 Feb dan mendapatkan rawatan di klinik perubatan umum (GP) pada 9 Feb.
Dia dipindahkan ke Hospital Tan Tock Seng menaiki ambulans pada hari yang sama dan segera ditempatkan di bilik isolasi sebelum keputusan ujian mengesahkan jangkitan virus itu pada 10 Feb.
Kes baharu yang lain melibatkan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 39 tahun yang merupakan pemegang Pas Pekerjaan Singapura dan tiada rekod perjalanan ke China baru-baru ini.
Dia merupakan kontak Kes ke-42, lelaki warga Bangladesh berusia 39 tahun yang dijangkiti virus itu pada 8 Feb.
Sebelum dimasukkan ke hospital, dia bekerja di 10 Seletar Aerospace Heights, lokasi sama Kes 42 bekerja.
Sementara itu, MOH berkata dua lagi kes positif telah dibenarkan keluar hospital hari ini, menjadikan jumlah yang sembuh sepenuhnya daripada jangkitan seramai sembilan orang.
Menurut kementerian itu, daripada 25 kes jangkitan tempatan, siasatan epidemiologi dan pengesanan kontak menunjukkan terdapat hubungan antara 15 kes dengan tiga kes kluster yang diketahui setakat ini.
Kluster berkenaan berkait dengan Life Church and Missions Singapore, kedai barangan kesihatan Cina Yong Thai Hang dan mesyuarat perniagaan yang diadakan di Grand Hyatt Singapura dari 20 hingga 22 Jan lepas.
Menurut MOH sehingga kini daripada 38 kes positif jangkitan virus itu yang masih berada di hospital, kebanyakan mereka stabil atau semakin pulih manakala tujuh berada dalam keadaan kritikal.
Sumber: BERNAMA