Coldplay Dedah Hasilkan Album Dari Sampah Plastik Sungai Malaysia
Kumpulan muzik dari United Kingdom, Coldplay bukanlah satu nama asing dalam industri hiburan global.
Dianggotai oleh Chris Martin, Johny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion, Coldplay pernah mencatat rekod menjadi antara artis yang menjual tiket konsert terbanyak di dunia sebelum ini.
Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa kumpulan berkenaan mempunyai pengikut yang sangat ramai dan segala pergerakan kumpulan berkenaan sentiasa diikuti dari semasa ke semasa.
Pendek kata, setiap perkembangan terkini tentang kumpulan tersebut pasti berada dalam pengetahuan para peminat mereka.
Jadi, apabila mereka mendedahkan satu fakta berkenaan album mereka baru-baru ini, kita sebagai rakyat Malaysia tidak tahu sama ada patut berasa bangga atau malu dengan pendedahan tersebut.
Apa tidaknya, Chris dalam satu temu bual bersama QVC, mendedahkan bahawa vinyl album tersebut sebenarnya dihasilkan daripada sampah plastik yang dikutip dari sungai-sungai di Malaysia.
Selain itu, sampah plastik yang digunakan turut dipungut dari sungai-sungai di Indonesia.
Vinyl album terbaru Coldplay dihasilkan dari sampah plastik dipungut dari sungai Malaysia
Menerusi video yang dikongsikan di Instagram @coldplaymalaysia, Chris turut memaklumkan mereka bekerjasama dengan The Ocean Cleanup dalam menghasilkan album mereka.
Katanya lagi, setiap vinyl album tersebut dihasilkan dengan menggunakan 9 botol plastik yang ditemui dalam sungai-sungai di negara ini dan juga di negara jiran.
Botol plastik ini dipungut menggunakan Interceptor, sebuah teknologi inisiatif syarikat The Ocean Cleanup yang mampu memerangkap hingga 100 tan sampah terapung sehari yang dibuang ke dalam sungai.
Biasanya, kita pasti rasa tertarik apabila nama Malaysia dipetik oleh figura-figura terkenal, namun kali rasa berbelah-bahagi pula, kan?
Coldplay rancang bersara selepas lancar album ke-12
Dalam perkembangan berbeza, SK sebelum ini turut melaporkan bahawa Coldplay merancang untuk ‘bersara’ selepas pelancaran album studio ke-12 mereka nanti.
Perkara itu dimaklumkan oleh Chris ketika ditemu bual oleh Zane Lowe menerusi podcast Apple Music 1.
“Kami hanya akan menghasilkan 12 album dan ia memang benar. Meletakkan had itu bermakna kawalan mutu sangat tinggi ketika ini dan menjadikan untuk sesuatu lagu terpilih (dimasukkan dalam album) hampir mustahil.
“Tetapi, ia sangat hebat. Jadi, mana yang kami boleh cuba, kami akan tambah baik,” katanya.
Difahamkan, Coldplay bukan saja-saja meletakkan had 12 album, sebaliknya diinspirasikan daripada beberapa pengaruh terbesar ke atas kumpulan itu.
Tambah Chris, dia dan ahli kumpulan yang lain, Jonny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion tidak mahu menghabiskan sisa hidup mereka dengan hanya menghasilkan lagu untuk Coldplay.
Walaupun Coldplay merancang untuk ‘bersara’ selepas album ke-12 mereka, ini tidak bermakna kumpulan itu akan meninggalkan terus industri hiburan.
BACA: Bas Tadika Terbakar: 3 Guru Digelar Wira, Terkorban Lindungi Anak Murid Hingga Ke Akhir Hayat
Sumber: @coldplaymalaysia via Instagram