Tiada Kategori

CMCF Lancar Tinjauan Awam: Garis Panduan Bahasa Inklusif Orang Kurang Upaya

Nur Farra

Bahasa mencerminkan cara kita berfikir, berinteraksi dan menghargai antara satu sama lain. Dengan kesedaran ini, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) menyeru semua pihak untuk menyertai tinjauan awam berhubung Garis Panduan Bahasa Inklusif Orang Kurang Upaya (OKU), yang kini dibuka dari 3 September hingga 10 Oktober 2025.

Inisiatif ini bertujuan mendapatkan maklum balas secara menyeluruh bagi memastikan dokumen akhir benar-benar bersifat adil, inklusif dan responsif terhadap kepelbagaian masyarakat Malaysia. Tinjauan ini juga terbuka kepada orang ramai, khususnya komuniti OKU, pencipta kandungan, pengamal media serta pihak berkepentingan lain.

Sebagai sebahagian daripada proses ini, garis panduan tersebut dibangunkan menerusi kolaborasi erat antara pelbagai organisasi OKU, pengamal media, kumpulan advokasi dan golongan profesional industri. Ia sejajar dengan prinsip Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Kod Kandungan) yang menegaskan pentingnya maruah, keterangkuman dan penghormatan terhadap hak semua individu tanpa mengira latar belakang atau keupayaan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood, garis panduan ini dibangunkan susulan permintaan daripada pengamal media yang mahukan panduan yang lebih terperinci dan praktikal tentang cara berkomunikasi mengenai OKU, selaras dengan saranan penggunaan istilah neutral dan bahasa inklusif yang digariskan dalam Kod Kandungan 2022.

“Bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi juga membentuk persepsi, mencabar stereotaip dan membuka jalan ke arah masyarakat yang lebih memahami serta menerima” ujar beliau.

Mengulas lanjut mengenai kepentingan dokumen ini, Beatrice Leong, pengasas Autism Inclusiveness Direct Action (AIDA) merangkap ahli majlis lantikan Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya bagi penggal 2025-2027, menyambut baik inisiatif ini dan menyifatkannya sebagai satu panduan praktikal dan piawaian jelas untuk memastikan maruah dan penghormatan terhadap komuniti OKU terpelihara dalam setiap naratif yang dibina.

Garis panduan ini menggalakkan penggunaan istilah yang inklusif dan sesuai dengan konteks, di samping menekankan kepentingan kerjasama berterusan dengan komuniti OKU yang telah menyumbang secara langsung dalam pembentukan draf ini. Representasi perlu dibina bersama komuniti OKU agar naratif yang terhasil benar-benar adil dan mencerminkan kepelbagaian pengalaman hidup mereka, bukannya sekadar andaian,” katanya.

Sebagai dokumen rujukan terbuka, garis panduan ini disasarkan untuk diaplikasikan dalam pelbagai bentuk komunikasi, termasuk:

  • Bahan kempen pengiklanan yang mesra dan inklusif.

  • Penulisan skrip dan kandungan siaran yang sensitif serta membina.

  • Komunikasi korporat yang mengangkat nilai etika dan hormat.

  • Laporan media yang adil dan bermaruah tentang individu OKU.

  • Ucapan dan penglibatan awam yang meraikan kepelbagaian manusia.

  • Kandungan media sosial yang bebas daripada stereotaip memudaratkan.

Dokumen ini dibangunkan berasaskan prinsip hak asasi dan keadilan, serta disesuaikan agar sejajar dengan konteks Malaysia. Selain mengangkat pengalaman tempatan, ia turut mengambil kira panduan antarabangsa seperti Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Kurang Upaya (UNCRPD), dengan menghormati sensitiviti budaya dan kepelbagaian keperluan masyarakat di negara ini.

Ia turut diperkukuh melalui dapatan penyelidikan dan proses konsultasi langsung bersama individu OKU yang mempunyai pengalaman hidup serta kepakaran dalam pelbagai bidang. Garis panduan ini diharap menjadi sumber rujukan yang pragmatik dan progresif, dengan meraikan kepelbagaian bahasa serta menghormati hak setiap individu untuk mengenal pasti diri mereka mengikut konteks budaya, komuniti dan identiti masing-masing.

Sehubungan itu, CMCF mengalu-alukan penyertaan aktif dalam tinjauan awam ini, khususnya daripada komuniti OKU, pencipta kandungan dan pengamal media, bagi menyuarakan pandangan serta mencadangkan penambahbaikan sebelum 10 Oktober 2025. Penyertaan menyeluruh amat penting bagi memastikan garis panduan ini mencerminkan realiti kehidupan dan keperluan sebenar rakyat Malaysia.

Untuk berkongsi pandangan atau maklum balas, sila layari laman web rasmi CMCF di www.contentforum.my.

Sertai usaha membentuk ekosistem kandungan yang lebih inklusif dan beretika, demi masyarakat yang saling memahami dan menghormati.