KUALA NERANG, 8 Jun (Bernama) — Kekurangan bekalan vaksin menyebabkan proses vaksinasi kepada penduduk di daerah Padang Terap tidak dapat dilaksanakan secara berkesan dan keupayaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) gagal digunakan secara optimum.
Pengarah Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Padang Terap Datuk Md Shuhaime Abd Rahman berkata keadaan itu boleh merencatkan usaha untuk mencapai imuniti kelompok di daerah berkenaan yang sepatutnya boleh dicapai seawal September depan.
“Kalau kita mendapat vaksin yang mencukupi kita jangka dalam September ini, seramai 49,000 penduduk Padang Terap yang layak akan selesai menerima vaksin dan kita akan dapat kembali ke zon hijau sekali gus rakyat dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, disebabkan isu kekurangan bekalan ketika ini, ketiga-tiga PPV di daerah itu tidak dapat menggunakan 100 peratus kapasiti masing-masing yang turut menjejaskan usaha pemberian vaksin menerusi kaedah lain seperti ‘walk-in’ dan pandu lalu.
Mengikut kapasiti harian, katanya PPV di Kuala Nerang boleh memberi vaksin kepada seramai 1,000 penerima; PPV di Naka, 600 penerima; PPV di Lubuk Merbau antara 400 hingga 500 penerima, manakala Unit Bergerak Vaksinasi COVID-19 kira-kira 100 suntikan setiap hari.
“Tetapi jumlah penerima vaksin setiap hari tidak mencapai kapasiti harian itu kerana masalah kekurangan bekalan vaksin. Kalau di PPV, pukul 2.30 petang sudah selesai proses pemberian vaksin sedangkan suntikan boleh terus diberikan sehingga 5 petang.
“Unit vaksin bergerak kita pula keluar ke lokasi pukul 9 pagi dan selesai beri suntikan pukul 12 tengah hari, kalau ada vaksin yang cukup kita boleh melakukan suntikan sampai petang kepada lebih ramai penerima dan guna tenaga petugas kesihatan yang terlibat juga dapat dioptimumkan,” katanya.
Justeru, Md Shuhaimie berharap kerajaan Persekutuan dapat menyediakan bekalan vaksin yang secukupnya ke daerah itu yang menurutnya berpotensi menjadi daerah pertama di negara ini mencapai imuniti kelompok dan kembali ke zon hijau.
Sumber: BERNAMA