KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) — CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd memperkenalkan program bantuan pembayaran bersasar (TPA) yang diperluaskan, sejajar dengan pengumuman oleh kerajaan baru-baru ini mengenai bantuan tambahan kepada peminjam B40 dan perusahaan mikro yang terjejas oleh pandemik COVID-19.
Dalam kenyataan hari ini, CIMB Group berkata di bawah TPA yang diperluaskan, peminjam yang layak akan dapat membuat permohonan penangguhan ansuran bulanan selama tiga bulan atau pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama enam bulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group Holdings Bhd Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata bantuan tambahan itu merupakan penyelesaian yang tepat pada masanya untuk membantu meringankan beban komuniti paling mudah terjejas dan menyediakan talian hayat kepada perniagaan mikro dalam tempoh mencabar ini.
“CIMB bersedia membantu dan akan terus memberi keutamaan kepada kesejahteraan kewangan dan daya tahan ekonomi pelanggan kami melalui TPA kami yang diperluaskan dan program bantuan lain.
“Kami komited untuk memberikan pengalaman pelanggan yang terbaik dalam proses permohonan untuk memberi kemudahan kepada pelanggan kami,” katanya.
CIMB berkata peminjam yang layak boleh mula memohon bantuan itu mulai hari ini dan ia akan berkuat kuasa daripada ansuran bulan berikutnya atas permintaan dan pengesahan penerimaan peminjam.
“Program ini adalah dari 1 Dis, 2020 hingga 30 Jun, 2021 untuk kemudahan yang diluluskan sebelum 1 Okt, 2020 dan tidak tertunggak melebihi 90 hari pada tarikh permohonan.
“Sebagai sebahagian daripada proses permohonan, pelanggan individu akan diminta untuk memberikan pengisytiharan diri dan pengesahan penerimaan, manakala perusahaan mikro yang layak digalakkan menghubungi CIMB untuk memohon program tersebut dan hanya akan diminta untuk memberikan pengisytiharan diri bahawa pendapatan mereka tidak melebihi RM300,000 atau mereka mempunyai kurang daripada lima pekerja, melalui e-borang,” katanya.
Walaupun ini adalah program bantuan yang sedia ada, prosesnya telah dipermudahkan berikutan ia akan berdasarkan pengisytiharan diri peminjam mengenai pengurangan pendapatan diri mereka sendiri dan/atau isi rumah mereka.
Bank boleh menghubungi pelanggan ini kemudiannya untuk dokumentasi bagi menyemak keadaan kewangan mereka, katanya.
Bagi bantuan selanjutnya, pelanggan boleh menghubungi Pusat Hubungan Pengguna CIMB di +603 6204 7788 atau e-mel covidcare@cimb.com, manakala perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh menghubungi Pusat Panggilan Perniagaan CIMB di 1300 888 828 (tempatan) dan +603 2297 3000 (luar negara) dari Isnin hingga Jumaat dari 7 pagi hingga 7 malam dan Sabtu dari 8 pagi hingga 5 petang (tidak termasuk cuti umum).
Pelanggan bukan PKS dan korporat juga boleh menghubungi pengurus perhubungan CIMB mereka untuk membincangkan pilihan pembiayaan.
Maklumat lanjut, boleh layari https://www.cimb.com.my/en/personal/help-support/covid-19-support.html.
Sumber: BERNAMA