Cikgu Cari Pelajar Tak Hadir Sekolah, Menangis Bila Dapat Tahu Kisah Sebenar
Tugas sebagai seorang guru sememangnya sangat mencabar fizikal dan emosi. Kadang kala, ada pelbagai perkara tidak terjangka berlaku terutama apabila mendidik ramai pelajar.
Seperti yang diketahui, guru bukan sahaja mencurahkan ilmu tetapi turut berperanan sebagai pembimbing dan pencorak masa depan anak-anak bangsa.
Jika ada kes pelajar kerap tidak hadir ke sekolah, para guru kebiasaannya akan cuba sedaya upaya untuk mencari tahu punca masalah yang dialami oleh pelajar tersebut.
Seperti yang dilakukan oleh seorang guru di Filipina ini yang berusaha mencari seorang pelajarnya yang tidak hadir ke sekolah. Namun, usaha tersebut berakhir dengan tangisan selepas dia mengetahui kisah sebenar di sebalik ketidakhadiran itu.
Bekerja untuk bantu keluarga
Dari dalam keretanya, dia melihat pelajar itu sedang menjual ikan di pasar demi membiayai pelajaran serta membantu keluarganya.
Guru yang dikenali sebagai Gwen itu berkata bahawa dia ingin membantu pelajar tersebut namun dia juga sedang bergelut dengan masalah kewangan.
“Buat masa ini, saya hanya mampu membantu dengan cara yang kecil kerana kamu semua (pelajar) seramai 50 orang berada di bawah tanggungjawab saya.
“Saya sentiasa berbangga dengan kamu,” tulisnya di kapsyen video.
Menerusi video yang lain, Gwen juga berkata dia benar-benar kelu dan tidak mampu berkata apa-apa selepas tahu mengenai keadaan pelajarnya yang dikenali sebagai Joel.
Namun dia juga berdoa setiap hari agar mampu membantu Joel dan para pelajar yang lain.
“Saya amat berbangga bukan sahaja terhadap Joel tetapi semua anak-anak didik saya yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menamatkan pelajaran.
“Saya pernah berada di tempat kamu. Saya faham dan merasai apa yang kamu lalui,” katanya.
Ramai hulurkan bantuan
Selepas video itu tular, ramai yang baik hati menyalurkan sumbangan kepada Joel dan keluarga. Gwen sendiri telah membawa pelajarnya itu pergi membeli barangan dapur dan keperluan.
Dalam masa sama, banyak bantuan diberikan kepada keluarga pelajar itu. Kebaikan orang ramai juga menyentuh hati ibu Joel, membuatkannya menangis terharu apabila kotak bantuan tiba di rumah.
Sumber: Gwen Sy