Choco Albab Perkenal Minuman Belgian Mocha Premium, Kukuhkan Komitmen Sokong Usahawan Kecil
BANGI, 6 Julai 2025 – Saudagaar Asia Sdn Bhd, syarikat pengeluar produk coklat terkenal tempatan di bawah jenama Choco Albab, terus memperkukuh kedudukannya dalam pasaran dengan melancarkan produk baharu iaitu Choco Albab Belgian Mocha – sejenis minuman premium berasaskan koko Belgian yang diformulasi khas untuk memenuhi gaya hidup moden dan citarasa mewah pengguna.
Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Saudagar Asia, Said Saiful Fazli Said Aluwi, produk ini diperkenalkan sebagai tindak balas kepada permintaan tinggi dalam kalangan pengguna yang menggemari gabungan rasa coklat dan kopi.

“Kita menerima banyak cadangan daripada pengguna yang mahukan variasi baharu, jadi kali ini kita tampil dengan produk minuman baharu iaitu Belgian Mocha, gabungan koko Belgian dan kopi premium,” katanya.
Kualiti Premium dan Mesra Kesihatan
Minuman Choco Albab Belgian Mocha diformulasikan dengan 33% koko Belgian premium, tanpa gula putih, serta menggunakan pemanis rendah kalori (sucralose). Ia juga mesra vegan dan sesuai untuk individu yang mengalami intoleransi laktosa, menjadikannya pilihan sihat dan berkualiti tinggi untuk semua lapisan masyarakat.
“Kualiti adalah keutamaan kami. Produk ini bukan sahaja sedap dan premium, malah lebih sihat dan sesuai untuk pengguna yang mengamalkan gaya hidup moden,” tambahnya.

Perkasa Usahawan Kecil dan Komuniti B40
Seiring dengan matlamat memperkasakan komuniti, Choco Albab turut memberikan fokus kepada pembangunan usahawan kecil terutama dari kalangan suri rumah, belia, golongan B40 dan OKU yang ingin menjana pendapatan melalui perniagaan kecil.
“Ramai usahawan kecil yang menjual air coklat Choco Albab dari bonet kereta atau gerai kecil. Kami di HQ sangat teruja melihat semangat mereka dan kami berusaha untuk bantu tambah baik operasi serta kualiti bancuhan air coklat mereka,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak HQ kini menyediakan kursus bimbingan secara percuma kepada para usahawan bagi memastikan resepi dan rasa minuman yang dijual adalah seragam dan berkualiti.

Pakej Keusahawanan Serendah RM150
Choco Albab menawarkan pakej memulakan perniagaan dengan modal serendah RM150, lengkap dengan produk minuman, gelas plastik, straw, stiker dan banner. Usaha ini terbukti membantu ramai individu menjana pendapatan secara fleksibel.
“Usahawan air bonet ini mampu menjual antara 150 hingga 200 gelas sebulan dan menjana pendapatan bersih sekitar RM2,000 sebulan,” ujarnya.

Kisah Kejayaan Usahawan Muda
Salah seorang usahawan yang berjaya ialah Nur Sabiha Mohd Zailan, 28, yang memulakan perniagaan sebagai dropshipper pada tahun 2023 sebelum beralih kepada penjualan secara langsung dari bonet kereta pada tahun berikutnya.
“Saya buat video dan promosi di TikTok dan Instagram. Tak sangka ia menjadi viral dan membantu melonjakkan jualan saya. Dari dua gelas sehari, kini saya menjual sehingga 30 gelas dengan penghantaran ke pejabat, tapak pembinaan dan rumah-rumah,” katanya.

Dengan pendapatan yang diperoleh, beliau kini mampu membantu ibunya dan mengupah pembantu untuk menjaga anak-anak ketika beliau keluar berniaga.
95,000 Usahawan Seluruh Malaysia dan Singapura
Choco Albab kini mempunyai lebih 95,000 usahawan berdaftar di seluruh Malaysia dan Singapura, menunjukkan kekuatan jenama ini dalam membina rangkaian keusahawanan yang kukuh dan progresif.

Pelancaran produk Choco Albab Belgian Mocha bukan sahaja memperkenalkan minuman baharu, tetapi turut menjadi simbol kepada komitmen berterusan syarikat dalam menyokong ekonomi komuniti serta menawarkan peluang perniagaan yang inklusif dan mampan.
“Kami bukan sekadar menjual minuman coklat, tetapi menawarkan jalan keluar kepada mereka yang ingin mengubah hidup,” tegas Said Saiful.