Beijing: Kementerian Luar China pada Jumaat memaklumkan Kedutaan Amerika Syarika (AS) di China mengenai keputusannya menarik balik kebenaran Pejabat Konsulat AS untuk beroperasi di Chengdu, lapor agensi berita Xinhua.
Kementerian turut membuat syarat-syarat khusus mengenai penamatan semua operasi dan acara oleh pejabat konsulat.
Pada 21 Julai, AS melancarkan provokasi sepihak apabila secara tiba-tiba menuntut China menutup Pejabat Konsulatnya di Houston.
“Langkah AS secara serius melanggar undang-undang antarabangsa, norma dasar hubungan antarabangsa dan syarat-syarat Konvensyen Konsulat China-AS. Ia mengeruhkan lagi hubungan China-AS,” kata kementerian dalam satu kenyataan.
“Langkah diambil China adalah tindak balas yang sah dan perlu terhadap tindakan tidak adil AS. Ia sesuai dengan undang-undang antarabangsa, norma asas hubungan antarabangsa dan amalan diplomatik,” tambah kenyataan itu.
“Situasi semasa dalam hubungan China-AS tidak seperti yang ingin dilihat oleh China, dan AS bertanggungjawab atas semua ini. Kami sekali lagi mendesak AS agar segera menarik balik keputusannya yang salah dan mewujudkan syarat diperlukan untuk mengembalikan hubungan dua hala ke landasan yang betul.”
— BERNAMA