China membuka semula pelabuhan kargo ketiga tersibuk di dunia hari ini, selepas ditutup untuk mengawal penularan virus Covid-19 baru-baru ini.
Operasi di pelabuhan berlokasi di timur Ningbo-Zhoushan ini diberhentikan dua minggu lalu apabila salah seorang pekerja di terminal didapati positif virus tersebut.
Penutupan terminal utama itu berdampak kepada rangkaian perkapalan global. Permintaan barangan yang meningkat daripada pengguna di Barat ketika pandemik memberi tekanan kepada pengeksport China berdepan kawalan virus domestik yang ketat.
Pelabuhan Ningbo-Zhoushan mengendalikan hampir 1.2 bilion tan muatan pada 2020. Berita pembukaan semula pelabuhan itu disampaikan pihak berkuasa Ningbo yang berkuatkuasa hari ini.
Pekerja-pekerja pelabuhan di China menjalani ujian saringan Covid-19 secara rutin dan mereka telah lengkap vaksin. Setakat ini, masih belum dapat dipastikan bagaimana virus tersebut boleh merebak di pelabuhan Ningbo-Zhoushan.
Penangguhan operasi pelabuhan Ningbo-Zhoushan ini susulan penutupan pelabuhan Yantian di pusat perdagangan selatan Shenzen Mei lalu, atas faktor yang sama.
China kembali berdepan penularan Covid-19 beberapa minggu kebelakangan ini selepas varian Delta merebak di negara tersebut. Pun begitu, China mengambil langkah serius dengan mengarahkan perintah berkurung dan saringan besar-besaran terhadap penduduk setempat.
Sumber: AFP