China, AS Sepakat Bentuk Rangka Kerja Perjanjian Perdagangan
China mengesahkan pada Jumaat mengenai butiran rangka kerja perjanjian perdagangan yang dicapai dengan Amerika Syarikat (AS), lapor AFP.
Menerusi pengumuman itu, Washington dilaporkan akan menarik semula langkah sekatan dan Beijing pula akan menyemak dan meluluskan item di bawah kawalan eksport.
Menerusi perbincangan dengan Beijing, Washington menjadikan bekalan nadir bumi sebagai keutamaan. Hal ini kerana ia sangat penting untuk pembuatan produk seperti kenderaan elektrik, cakera keras dan peralatan pertahanan negara.
China yang mendominasi pengeluaran global bagi bekalan itu mula mewajibkan lesen eksport pada awal April lalu. Ia dilihat sebagai langkah tindak balas terhadap tarif tinggi yang dikenakan Presiden AS, Donald Trump.
Kedua-dua pihak bersetuju selepas perbincangan di Geneva pada Mei untuk menurunkan tarif ‘balas-membalas’ yang terkesan ke atas produk masing-masing.
China juga komited untuk melonggarkan beberapa tindakan balas bukan tarif, tetapi pegawai AS kemudian menuduh Beijing melanggar pakatan dan kelulusan lesen eksport untuk nadir bumi.
Bagaimanapun, mereka akhirnya bersetuju dengan rangka kerja untuk bergerak ke hadapan dengan konsensus Geneva selepas perbincangan di London bulan ini.
Susulan itu, pentadbiran Trump dan China telah bersetuju dengan pemahaman tambahan untuk rangka kerja bagi melaksanakan perjanjian Geneva.
Trump juga memaklumkan baru menandatangani perjanjian berkaitan perdagangan dengan China, tanpa memberikan butiran lanjut.
Pada Jumaat, Beijing mengesahkan bahawa persetujuan itu telah dicapai oleh mereka.
“Diharapkan Amerika Syarikat dan China saling bertolak ansur,” kata jurucakap kementerian perdagangan dalam satu kenyataan.
Tambahnya, kedua-dua pihak masih lagi sedang mengesahkan mengenai butiran rangka kerja terbabit.
Di bawah perjanjian itu, China akan menyemak dan meluluskan permohonan untuk item kawalan eksport yang memenuhi keperluan mengikut undang-undang.
“Pihak AS juga akan membatalkan beberapa siri langkah sekatan terhadap China,” kata jurucakap itu lagi.
Imbas kembali, Trump telah mengenakan levi sebanyak 10 peratus ke atas kebanyakan rakan dagangan pada tahun ini. Beliau kemudian menangguhkan tarif tersebut susulan rundingan dengan negara-negara terbabit.
Penangguhan itu ditetapkan untuk tempoh sehingga 9 Julai dan lanjutannya belum dapat dipastikan.
Setiausaha akhbar, Karoline Leavitt memberitahu wartawan bahawa ia mungkin boleh dilanjutkan, tetapi itu adalah keputusan yang perlu dibuat oleh Trump.
Sumber: AFP