Chicharito Minta Henti ‘Buka’ Buku Sejarah Kejayaan MU Dengan Ferguson, Terima Hakikat Era Baharu
Bintang Los Angeles Galaxy, Javier ‘Chicharito’ Hernandez yang juga pemenang dua kali trofi EPL telah meminta semua pihak di bekas kelabnya, Manchester United untuk melupakan kenangan dan tutup buku sejarah bersama pengurus lagenda, Sir Alex Ferguson yang bersara pada 2013.
Skuad The Red Devil itu dilihat gagal mengulangi kejayaan yang pernah mereka kecapi di bawah Ferguson, dan salah satunya berpunca daripada tindakan pengurusan kelab yang sering bertukar-tukar jurulatih. MU setakat ini sudahpun melantik 8 pengurus baharu sejak Ferguson meninggalkan kelab itu dengan Jose Mourinho dilihat satu-satunya pengganti yang berjaya selepas membawa ‘pulang’ beberapa trofi.
Hernandez percaya MU tidak akan menjadi kelab yang sama seperti dahulu tanpa Ferguson, namun menerima hakikat era baharu dapat membantu kelab bergerak ke hadapan.
”United perlu menerima hakikat bahawa Sir Alex Ferguson telah pergi. Adakah kami mahukan seseorang yang sama sepertinya sebagai pengganti? Sudah tentu. Tetapi, Ferguson sudah tiada dan keadaan tidak mungkin akan sama lagi seperti dahulu.
“Situasi semasa MU tidak memeranjatkan saya kerana tidak mudah untuk mencari ‘pengganti’ selepas 26 tahun bersama Ferguson. Salah satu bakat terbesarnya, pada pendapat saya, adalah mengasah bakat pemain. Mungkin tujuh daripada 10 pemain yang dilatihnya pasti berjaya,” kata Hernandez.
Dia turut menambah apa yang dilakukan oleh Ferguson bukan satu tugas yang mudah dan tiada sesiapa pun yang dapat mengulanginya lagi.
Ketika mengulas mengenai Cristiano Ronaldo, Hernandez berkata dia memahami hasrat pemain itu untuk meninggalkan MU pada musim panas ini memandangkan kelab tidak akan beraksi di saingan utama Liga Eropah, UCL. Namun, dia percaya Ronaldo masih mampu menikmati musim yang hebat jika dia kekal bersama kelab itu.
“Masa akan menentukan apa yang akan berlaku dengannya- tetapi bagaimana jika Ronaldo kekal dan menjaringkan 40 gol untuk MU? Itu boleh berlaku,” kata Hernandez lagi.
Dia juga tidak menolak untuk kembali ke kelab lamanya itu jika mendapat tawaran, malah bersedia untuk bermain secara percuma asalkan dapat membantu kelab tersebut. Bagaimanapun, dia turut menyatakan komitmen bersama kelab semasanya.
“Saya juga menghormati kelab semasa saya. Saya bermain dengan sangat konsisten dan dalam fikiran saya adalah tentang memenangi kejuaraan bersama LA Galaxy.
”Pada masa hadapan, jika perkara ini berlaku maka ia tetap akan berlaku- tetapi dalam fikiran, saya masih 100 peratus bersama LA.” Katanya pada pemberita.
BACA: iPay88 Umum Insiden Keselamatan Siber Berlaku, Data Kad Berpotensi Tertiris
Sumber: Goal.Com