ciri baru chatgpt
Kredit: AFP

ChatGPT Bakal Dilengkapi Fitur Baru – OpenAI

Hannah

ChatGPT Bakal Dilengkapi Fitur Baru – OpenAI

Syarikat kecerdasan buatan (AI) terkemuka dunia, OpenAI, mengumumkan bakal melancarkan fitur kawalan ibu bapa (parental controls) untuk ChatGPT dalam tempoh sebulan akan datang.

Lapor CNN, langkah ini diambil selepas timbul kebimbangan bahawa penggunaan chatbot AI tanpa kawalan boleh mempengaruhi kesihatan mental remaja.

Dakwa ia bakal berguna buat ibu bapa, apa yang ditawarkan?

Menurut CNN, melalui ciri baharu ini, ibu bapa akan dapat:

  • Menghubungkan akaun mereka dengan akaun anak remaja.

  • Mengurus cara ChatGPT memberi respons kepada pengguna bawah umur.

  • Menyahaktifkan fungsi tertentu seperti memory dan sejarah perbualan.

  • Menerima notifikasi sekiranya sistem mengesan tanda-tanda tekanan emosi serius ketika anak menggunakannya.

OpenAI menjelaskan bahawa ciri ini hanyalah permulaan. Syarikat akan terus menambah baik aspek keselamatan dengan panduan daripada pakar pembangunan remaja, kesihatan mental serta interaksi manusia-komputer.

Mengapa langkah ini diambil?

Pengumuman ini dibuat selepas beberapa kes tragis melibatkan remaja dilaporkan, menurut CNN.

Antaranya, keluarga seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di Amerika Syarikat (AS) memfailkan saman terhadap OpenAI kerana mendakwa ChatGPT memberi nasihat berkaitan tindakan bunuh diri.

Tahun lalu pula, seorang ibu di Florida turut menyaman platform chatbot lain selepas kematian anaknya yang berusia 14 tahun.

Walaupun OpenAI tidak secara langsung mengaitkan ciri baharu ini dengan kes-kes tersebut, syarikat itu mengakui terdorong untuk memperkukuh ciri keselamatan.

Langkah ini diambil selepas beberapa insiden menyayat hati melibatkan pengguna yang berdepan krisis emosi.

Usaha berterusan tingkatkan keselamatan

ChatGPT sebenarnya sudah mempunyai ciri sedia ada yang boleh mengarahkan pengguna kepada talian bantuan krisis dan sumber sokongan lain.

Namun, OpenAI mengakui ciri keselamatan ini kadang-kala kurang berkesan dalam perbualan yang panjang kerana model AI boleh hilang konsistensi.

Sebagai penambahbaikan, OpenAI akan mengalihkan perbualan yang menunjukkan tanda “tekanan serius” kepada model khas yang lebih konsisten dan selamat dalam mematuhi garis panduan keselamatan.

Selain itu, syarikat turut menubuhkan sebuah majlis penasihat yang terdiri daripada pakar kesihatan mental, pembangunan remaja dan teknologi.

Majlis ini berperanan membantu membentuk polisi, penyelidikan serta reka bentuk produk pada masa hadapan.

Tekanan awam & tanggungjawab

OpenAI kini berada di bawah perhatian besar selepas ChatGPT menjadi antara perkhidmatan AI paling popular dengan lebih 700 juta pengguna aktif mingguan.

Tekanan daripada pihak berkuasa, badan advokasi dan masyarakat semakin meningkat supaya syarikat memastikan platform ini selamat digunakan, khususnya bagi golongan muda.

Syarikat itu juga berjanji akan melancarkan lebih banyak ciri keselamatan dalam tempoh 120 hari akan datang, dengan usaha berterusan sepanjang tahun ini.

BACA: Elak Ucap “Tolong” & “Terima Kasih” Kepada ChatGPT, Ini Sebabnya

BACA: Terlalu Ramai Percaya AI, CEO OpenAI Dedah Perkara Mengejutkan Tentang ChatGPT

BACA: Bakal Lancar GPT-5, CEO ChatGPT Akui ‘Takut’ & Ini Sebabnya

Sumber: CNN