perancis wabak pepijat
Kredit AFP

Cetuskan Kebimbangan, Perancis Adakan Mesyuarat Tergempar Bincang Isu Wabak Pepijat

Syed Faisal Sayed Muhammad

Cetuskan Kebimbangan, Perancis Adakan Mesyuarat Tergempar Bincang Isu Wabak Pepijat

Wabak pepijat dilaporkan telah melanda Paris dan bandar-bandar Perancis yang lain. Ia sekaligus mencetuskan kebimbangan berikutan negara itu bakal menjadi tuan rumah bagi Sukan Olimpik 2024, lapor BBC.

Menurut AFP, kerajaan Perancis pada Selasa berkata bahawa mesyuarat tergempar akan dijalankan pada minggu ini.

Mesyuarat itu bagi memeriksa peningkatan bilangan kes pepijat yang dilaporkan berlaku dan semakin berleluasa sehingga mungkin menjadi masalah kesihatan awam yang besar.

Dua sekolah iaitu di Marseille dan Villefranche-sur-Saone yang terletak di luar Lyon, tenggara Perancis telah diserang wabak pepijat ini.

Susulan serangan itu, sekolah tersebut telah ditutup untuk beberapa hari bagi melakukan proses pembersihan, kata pihak berkuasa tempatan.

Matlamat mesyuarat itu adalah untuk mengukur keadaan dan mengatur langkah-langkah pencegahan yang boleh dilakukan.

Mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Menteri Pengangkutan, Clement Beaunu.

“Kami ingin memaklumkan mengenai tindakan yang dilakukan kepada rakyat dan pengembara untuk langkah perlindungan,” kata kementerian itu.

Satu lagi mesyuarat antara kementerian kemudiannya akan berlangsung pada hari Jumaat, kata jurucakap kerajaan Olivier Veran.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Aurelien Rousseau menegaskan bahawa tiada ‘panik umum’ dilaporkan berlaku berhubung isu tersebut.

“Apa yang membimbangkan saya ialah orang ramai dinasihat agar tidak ditipu oleh firma yang membuat perkhidmatan membunuh pepijat itu,” kata Aurelien.

Sementara itu, pakar entomologi Jean-Michel Berenger berkata bahawa kes pepijat pada setiap tahun akan terus meningkat.

“Setiap akhir musim panas, peningkatan besar dalam kes pepijat telah meningkat.

“Ini kerana orang ramai telah bergerak sepanjang Julai dan Ogos. Mereka membawa makhluk itu ke dalam bagasi mereka.

“Dan setiap tahun, peningkatan bermusim adalah lebih besar daripada tahun sebelumnya,” kata pakar entomologi di hospital utama Marseille, Jean-Michel Berenger.

Laporan juga memberitahu bahawa pepijat yang telah ditemui di pawagam baru-baru ini adalah tidak benar, tetapi isu itu masih dipandang serius oleh pihak berwajib.

Di Paris, ketakutan yang berpanjangan terhadap serangan itu telah dirasai oleh penghuni pangsapuri, lapor BBC.

Difahamkan, satu daripada 10 penduduk telah mengalami serangan pepijat dalam tempoh lima tahun yang lalu, menurut angka rasmi.

Susulan serangan itu, Dewan Bandaraya Paris dan kerajaan Presiden Emmanuel Macron menyeru agar tindakan pantas perlu dilakukan.

Tindakan perlu diambil sebelum menjelang Olimpik 2024

Tindakan pantas itu perlu diambil bagi menjaga imej Paris menjelang temasya sukan Olimpik pada tahun hadapan.

Selain Olimpik, Paris juga bakal menjadi negara yang menganjurkan Piala Dunia Ragbi dan sedang bersedia untuk mengalu-alukan kedatangan atlet dan peminat dari seluruh dunia.

Berita berkenaan serangan itu telah tersebar di internet dan menyebabkan panik kepada orang ramai.

“Terdapat elemen terbaru tahun ini dan itu adalah psikosis umum yang sedang berlaku.

“Ia adalah perkara yang baik kerana boleh memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang masalah itu. Lebih cepat tindakan diambil terhadap pepijat maka ia akan menjadi lebih baik,” kata Berenger.

BACA: “Tak Tahu Boleh Dapat RM500” Lelaki Bongkar ‘Rahsia’ Bayaran Kat Cashier Mydin

Terdapat beberapa faktor serangan itu berlaku termasuk globalisasi dalam perdagangan kontena, pelancongan dan imigresen.

Faktor lain adalah kesan kegunaan racun DDT yang semakin berkurangan berikutan pengharamam penggunaan bahan kimia tersebut dalam membasmi parasit.

Parasit yang terselamat daripada DDT adalah ‘nenek moyang’ kepada parasit yang ada pada hari ini.

Faktor yang terakhir adalah ia mungkin melibatkan kemerosotan lipas di rumah-rumah rakyat yang menjaga kebersihan.

Lipas dipercayai sebagai pemangsa kepada pepijat ini dan kemerosotan bilangan lipas telah memberi kesan kepada peningkatan bilangan pepijat.

Bagaimanapun, setakat ini parasit tersebut diketahui tidak boleh menularkan penyakit kepada orang yang diserang.

Sumber: AFP, BBC