CEO Amazon, Jeff Bezos diramal bakal menjadi “Trillionaire” pertama dunia menjelang tahun 2026 pada usia 62 tahun jika aset peribadinya mengekalkan trend pertambahan walaupun dunia ketika ini sedang bergelut dengan pandemik COVID-19 yang menyaksikan sektor ekonomi antara yang paling teruk terkesan.
Menurut laporan Business Insider yang memetik data analisis Comparisun, kekayaan Bezos meningkat sebanyak 34 peratus setiap tahun sepanjang 5 tahun yang lalu biarpun dia terpaksa menyerah saham bernilai USD 38 bilion kepada bekas isterinya sebagai syarat penyelesaian proses penceraian yang dilaporkan sebelum ini.

Comparisun melakukan analisis terhadap 25 individu terkaya di dunia dan mendapati hanya 11 orang sahaja berpontensi untuk menjadi trillionaire dan Bezos diramal menjadi orang pertama melakukannya.
Manakala CEO Facebook, Mark Zuckerberg pula diramal menjadi manusia termuda menjadi trillionaire menjelang tahun 2036 pada usia 51 tahun.
Menurut Business Insider, data yang digunapakai oleh Comparisun itu berdasarkan data kekayaan Bezos setakat September 2019 yang dikumpul oleh Forbes, bermakna dapatan analisis ini masih belum mengambil kira data-data untuk tempoh pendemik COVID-19 dimana saham Amazon meningkat mendadak selepas orang ramai bertukar ke platform atas talian untuk membeli belah.
Setakat ini, Bezos memiliki kekayaan sebanyak USD 138 bilion dan untuk tempoh 2020, asetnya sudah bertambah sebanyak USD 28.3 bilion setakat ini.

Walaupun kekayaannya makin bertambah ketika pandemik ini, namun keputusannya untuk memotong bayaran upah sebanyak USD 2 per jam bagi pekerja-pekerja di gudang simpanan Amazon telah mencetuskan kemarahan rakyat Amerika Syarikat baru-baru ini.
Malah, kumpulan pekerja Amazon juga melakukan protes selepas tidak berpuas hati dengan kondisi tempat kerja yang dikatakan teruk selepas jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja meningkat.
Sumber: Business Insider