budak baring atas ular tedung
Kredit Sinar Harian

Cemas, Budak 4 Tahun Tak Sengaja Terbaring Atas Ular Tedung

Syed Faisal Sayed Muhammad

Cemas, Budak 4 Tahun Tak Sengaja Terbaring Atas Ular Tedung

Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang tak sengaja terbaring di atas seekor ular tedung dalam kejadian di Taman Serai Perdana berjaya diselamatkan oleh pasukan Bomba, lapor Sinar Harian.

Sebelum ini, video berdurasi 19 saat yang memaparkan kejadian itu telah tular di media sosial.

Dalam video itu, ular berwarna hitam tersebut berada di bawah badan kanak-kanak itu dengan separuh daripada ekornya dipijak oleh kanak-kanak tersebut.

Ketika kejadian, kanak-kanak tersebut dilaporkan sedang berada di di rumah pengasuhnya.

Difahamkan, pengasuh yang menyedari kehadiran reptilia itu kemudiannya telah memujuk kanak-kanak tersebut untuk tidak bergerak sementara menunggu ketibaan pasukan bomba.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, laporan berkaitan kejadian telah diterima pada jam 11.28 pagi.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, didapati kanak-kanak itu sedang berbaring dan menindih ular tedung yang panjangnya 0.4 meter.

“Anggota bertindak menangkap ular manakala seorang lagi anggota mengangkat mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Tambah Sayani lagi, menerusi pemeriksaan fizikal ke atas kanak-kanak tersebut, mereka mendapati tiada sebarang kecederaan dijumpai pada badan mangsa.

Mangsa kemudiannya diserahkan semula kepada pengasuh selepas operasi menyelamat tersebut selesai.

“Ular terbabit kemudiannya dilepas semula ke habitat asalnya yang jauh daripada penempatan penduduk,” katanya.

Tular Rakaman Ular Sawa Gergasi Ditemui Dalam Tasik Ayer Keroh

Terdahulu, tular sebuah video di media sosial yang menunjukkan penemuan seekor ular sawa bersaiz gergasi di sebuah tasik.

Video yang dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok yang menggunakan nama @masjidilnabawi86 telah menunjukkan penemuan tersebut.

Berdasarkan video muat naik tersebut, penemuan ular sawa gergasi itu dipercayai telah ditemui di dalam sebuah Tasik di Ayer Keroh, Melaka.

BACA: “Surat Ni Tak Boleh Buka,” Lelaki Ajar Cara Daftar Nama Anak “Step By Step” Di JPN

Menerusi penelitian video itu lagi, selain badannya yang bersaiz besar, ular itu juga kelihatan sangat panjang. Apabila dilihat secara kasar dari hujung kepala sehingga ke ekornya, ular itu boleh dikatakan sangat panjang dan menakutkan.

“Kemain besar lagi ular sawa. Besar dan panjang,” kata lelaki tersebut di dalam video berkenaan.

Sehingga kini, muat naik video tersebut telah ditonton oleh pengguna media sosial tersebut melebihi 1.3 juta tontonan.

Sumber: Sinar Harian