Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Sarjan Norihan Tari dilaporkan telah dibenarkan keluar dari Hospital Pulau Pinang pada hari ini setelah menjalani rawatan akibat terkena tembakan semasa pertempuran dengan kumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand pada 24 November lalu.
Menerusi perkongsian Batalion 3, Pasukan Gerakan Am, di Facebook sebentar tadi, kepulangan Sarjan Norihan ke kem Batalion 3 PGA telah disambut oleh Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA, Ydh Supt Rosman Kasman dan isteri, Puan Zuraini Majid bersama Pen Pegawai Pemerintah, Dsp Mazian Zainal dan isteri, Puan Anita Maria Othman serta pegawai-pegawai kanan dan anggota Batalion 3 PGA.
Tidak cuma itu, Ydh Supt Rosman Kasman juga telah menyerahkan Bendera Malaysia sebagai simbolik penghormatan atas perjuangan Sarjan Norihan dalam mempertahankan kedaulatan negara di perbatasan.
Sumbangan dari warga Batalion 3 PGA, syarikat serta individu yang prihatin terhadap perjuangan dan pengorbanan Mendiang Sarjan Baharuddin Ramli dan Sarjan Norihan Tari juga telah diberikan.
Sumber: Batalion 3, Pasukan Gerakan Am