saint-maximin belanja mainan
Kredit: petikan video di Youtube Helios Pantheon

Cedera Hamstring Bukan Penghalang, Pemain Newcastle Saint-Maximin Belanja 100 Kanak-kanak Mainan, ‘Ambil Apa Saja’

Nurhanis

Bawa 100 orang kanak-kanak ke sebuah stor mainan, pemain sayap Newcastle United, Allan Irénée Saint-Maximin tidak letak ‘limit’ untuk mereka pilih mainan kegemaran masing-masing.

Daily Mail melaporkan, walaupun bintang Newscastle itu mengalami kecederaan hamstring, namun ia bukan penghalangnya untuk menghadiri acara yang dianjurkan Helios Pantheon untuk koleksi NFT.

Oleh sebab itu, pemain muda berusia 25 tahun tersebut mengambil kesempatan untuk membawa kanak-kanak ke stor mainan bagi membeli mainan kegemaran mereka.

Menerusi laman Twitter, Saint-Maximin meluahkan rasa gembira ekoran dapat membelikan mainan untuk kanak-kanak yang juga merupakan impiannya sewaktu kecil dahulu.

“Ini merupakan impian saya sewaktu kecil untuk membeli semua mainan yang saya nak dalam kedai ni.

“Malangnya (waktu itu) saya tak ada peluang (nak beli), jadi saya bagi peluang ini kepada kanak-kanak yang datang ke acara Helios,” katanya ketika ditemui pemberita semasa acara Helios Pantheon.

Sementara itu, kumpulan kanak-kanak tersebut berasa teruja kerana impian mereka sudah menjadi kenyataan apabila masing-masing dapat membeli apa sahaja mainan yang mereka mahu.

Zaman kemuncak

Gambar via Sportmob

Sejak ketibaannya ke Liga Perdana Inggeris (EPL) dari kelab Perancis, Nice pada 2019 lalu, kredibiliti Saint-Maximin mula dijadikan tokoh sama ada di dalam dan di luar padang bola.

Selain lincah beraksi di atas padang, Saint-Maximin juga kekal dengan personalitinya yang menarik serta dikenali sebagai seorang pemurah, lebih-lebih lagi apabila meraikan kemenangan kelabnya.

Imbas kembali pada Disember tahun lepas, pemain sayap The Magpies itu pernah menghadiahkan jam tangan berjenama Rolex bernilai RM10,000 kepada peminat bersempena kemenangan 1-0 ke atas Burnley.

Malah semasa pembukaan pertama EPL Ogos lepas, beliau juga turut menghadiahkan hadiah yang sama kepada peminat selepas Newcastle mencatat kemenangan 2-0 ke atas Nottingham Forest.

Pada perlawanan EPL sebelum ini pula, Maximin sekali lagi dijulang sebagai wira apabila berjaya meledak gol saat akhir pada minit ke-90 bagi menyamakan kedudukan 1-1 ke atas Wolves.

Untuk rekod terkini, Saint-Maximin sudah menjaringkan sebanyak 12 gol dan 15 kali assist sepanjang 90 perlawanan The Magpies selama empat musim terakhir EPL setakat ini.

Newcastle United kini menduduki tangga ke-11 dalam carta EPL selepas mengharungi enam perlawanan dengan merekodkan satu menang, empat seri dan satu kalah.

Sumber: Daily Mail