Cecah Ribuan Unit & Menggerunkan, Ini Anggaran Jumlah Senjata Nuklear Milik Amerika & Rusia, Terbanyak Di Dunia

Edayu

Ketegangan memuncak diantara Ukraine yang disokong NATO dengan Rusia mencetuskan pelbagai kemungkinan memandangkan aktor-aktor yang terlibat dalam konflik ini adalah kuasa-kuasa besar dunia.

Abang besar dalam NATO adalah Amerika Syarikat yang merupakan kuasa utama dunia, baik dari segi ekonomi mahupun ketenteraan, manakala Rusia pula adalah musuh berzaman negara Uncle Sam itu sejak era Perang Dingin lagi.

Malah, Rusia sendiri bukan calang-calang negara kerana memiliki antara angkatan tentera terbesar dan terkuat di dunia. Paling membimbangkan, kedua-dua negara ini merupakan negara kuasa nuklear utama di atas muka bumi ini.

Sembilan negara membentuk kelab nuklear dunia dengan anggaran sebanyak 14,500 senjata nuklear. Daripada jumlah ini, Rusia dan Amerika Syarikat sahaja memegang bahagian terbesar dengan jumlah gabungan dengan anggarannya sebanyak 13,350. Hanya 1,150 senjata dimiliki oleh beberapa negara lain.

Ini jumlah anggaran senjata nuklear bagi dua negara besar ini

Amerika syarikat memiliki senjata nuklear sebanyak 6,550 dan jumlah ujian nuklear sebanyak 1,030. Kali pertama senjata ini diuji pada tahun 1945 dan ujian terakhir adalah pada September 1992.

Bagi negara Rusia pula, anggaran senjata nuklear milik mereka adalah sebanyak 6,800 dan jumlah ujian yang telah dilakukan sebanyak 715 kali. Ujian yang dilakukan buat pertama kali pada Ogos 1949 dan yang terakhir pada Oktober 1990.

Selain itu, Rusia juga merupakan pemilik bom nuklear paling berkuasa di dunia, dikenali sebagai Tsar Bomb yang mempunyai kekuatan 50-58 megaton TNT.

Menurut laporan Britanica, bom berkenaan pada asalnya mempunyai kekuatan 100 megaton, bagaimanapun terpaksa dikurangkan selepas penyelidik Soviet ketika itu menyimpulkan kekuatan berkenaan terlalu bahaya dan sukar untuk diramal.

Bom atom yang digugurkan Amerika Syarikat di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun iaitu Little Boy mempunyai kekuatan 15 kiloton TNT dan Fat Man, 21 kiloton TNT.

Kekal menjadi satu-satunya konflik melibatkan penggunaan senjata nuklear, penggunaan kedua-dua bom berkenaan meragut diantara 80,000 nyawa (Hiroshima) dan 40,000 nyawa lagi di Nagasaki, yang rata-ratanya adalah orang awam.

Secara perbandingan, Tsar Bomb mempunyai kekuatan 3,800 kali ganda berbanding Little Boy dan Fat Man.

Sumber: CNBC, History, Britannica