Tokyo, 16 Julai – Tokyo mengeluarkan amaran koronavirus tahap tertinggi setelah kes baru COVID-19 meningkat secara mendadak sejak kebelakangan ini.
Menurut Channel News Asia, banyak kes baru muncul dari kawasan hiburan pada waktu malam, melibatkan individu berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun. Pun begitu, jangkitan turut melibatkan tempat kerja serta dalam kalangan keluarga.
“Pakar memberitahu kita, situasi jangkitan berada pada tahap keempat dari sistem empat peringkat, ini bermakna jangkitan sedang merebak,” kata Gabenor, Yuriko Koike dalam satu pertemuan mengenai koronavirus.
Lapor Nikkei Asian Review, kerajaan Jepun menjangkakan lebih 280 kes baru COVID-19 pada Khamis. Angka itu menjadikan jumlah kes baru tertinggi dalam tempoh 24 jam sejak permulaan pandemik berkenaan.
Susulan itu, kerajaan mendesak penduduk tempatan agar mengelakkan kunjungan tidak perlu ke luar bandar tersebut.
Kerajaan turut dilapor mempertimbangkan penutupan perniagaan kelab-kelab dan perusahaan serupa yang belum mengambil langkah berjaga-jaga susulan peningkatan kes baru koronavirus baru-baru ini.
Sebanyak 143 kes baru telah dikesan di Tokyo pada Selasa lalu, lapor Japan Times.
Setakat Rabu, seramai tujuh pesakit dilaporkan memerlukan rawatan rapi. Negara itu mempunyai sekitar 22,500 kes COVID-19 dengan anggaran 1,000 kematian sejak pertama kali dikesan di sana. Tiada kematian akibat koronavirus itu dicatatkan di Tokyo dalam tempoh tiga minggu.
Jepun dilaporkan menutup sempadannya kepada lebih 100 negara termasuk untuk penduduk tetap mereka.
Namun demikian, kerajaan negara itu membuka semula industri pelancongan domestik yang menerima tentangan sebahagian rakyat berikutan kekhuatiran terhadap penularan wabak tersebut.
Sumber: Channel News Asia, Nikkei Asian Review, Japan Times