career ladder singapura
Gambar: Instagram @zippyzipeng
Tiada Kategori

“Career Ladder Guy” Di Singapura, Boleh Pula ‘Diterjah’ CEO Grab

Hannah

“Career Ladder Guy” Di Singapura, Boleh Pula ‘Diterjah’ CEO Grab

Kalau korang kaki TikTok atau Threads, mesti pernah nampak trend “Career Ladder” yang dibuat oleh pempengaruh luar negara, Max Klymenko.

Konsepnya mudah tetapi unik. Max akan membawa satu tangga ke mana sahaja, kemudian secara random bertanya kepada orang awam tentang pekerjaan mereka. Menariknya, dia akan cuba meneka kerjaya individu itu berdasarkan perbualan singkat.

Hasilnya, ramai penonton jadi teruja sebab bukan sahaja dapat meneka bersama, tetapi juga belajar tentang kerjaya yang mungkin kita sendiri tak pernah dengar.

Boleh pula dia interview CEO Grab…

Lepas tular di Eropah dan Amerika, kali ini Max yang selalu disebut sebagai “Career Ladder Guy” dilihat menjelajah ke Singapura.

Dalam beberapa video yang tular di TikTok dan Instagram, Max dirakam berada sekitar Merlion Park, Chinatown dan Orchard Road sambil membawa tangga ‘keramat’nya.

Seperti biasa, ramai orang awam yang berhenti dan ambil giliran untuk naik tangga itu, sementara Max meneka pekerjaan mereka hanya melalui beberapa soalan ringkas dalam masa kurang dua minit.

Tapi apa yang mencuri perhatian ramai kali ini, Max turut ‘diterjah’ oleh CEO Grab sendiri, Anthony Tan.

Dalam rakaman yang kini tular, Anthony Tan dilihat sporting melayan Max sambil berdiri atas tangga tersebut.

Namun, yang buat netizen pecah perut, Max dengan penuh yakin meneka bahawa Anthony Tan ialah atlet renang Singapura yang menang pingat emas.

Sudah tentu, detik itu membuatkan ramai berdekah.

Untuk info, Max berkongsi di Instagram Story bahawa 3 November lalu merupakan hari terakhir dia membuat penggambaran di Singapura, lapor Mothership.

Rata-rata netizen Malaysia mula membanjiri ruangan komen dengan pelbagai reaksi lucu dan tak sabar menantikan kehadiran Max ke Malaysia pula.

“Tak sangka dia betul-betul jumpa Anthony Tan…”

“Tolonglah datang ke Malaysia lepas ni.”

“Bro kena datang Penang dan tanya aku. Confirm dia takkan dapat teka.”

Ramai juga mencadangkan supaya Max datang ke Kuala Lumpur untuk buat video versi Malaysia. Kononnya nak tengok sama ada dia boleh teka kerjaya orang kita.

BACA: “Career Ladder” Tapi Versi Malaysia, Ramai Gagal Teka Abang Ni Kerja Apa

Sumber: Instagram @zippyzipeng, TikTok @mothershipsg