ikan talang jeruk masin
Kredit: Dapoq Kebaya

Cara Ringkas Buat Sendiri Ikan Talang Jeruk Masin

Azizah Najib

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Cara Ringkas Buat Sendiri Ikan Talang Jeruk Masin

Ikan talang terkenal dengan isi yang tebal dan tidak mudah hancur, menjadikannya sangat lazat dimasak dalam pelbagai cara.

Sama ada digoreng dengan kunyit, dimasak kari atau digoreng asam, hidangan ini pasti membangkitkan selera.

Namun, apabila ikan talang dihidang sebagai ikan masin, rasanya lebih enak dan pasti menambah selera makan nasi.

Ramai yang berfikir, adakah sukar untuk membuat ikan masin sendiri? Perlukah dijemur di bawah matahari sepanjang hari?

Sebenarnya, cara membuat ikan talang jeruk masin sangat mudah dan tidak memerlukan banyak masa.

Berikut adalah panduan ringkas yang dikongsi oleh pengguna TikTok, Dapoq Kebaya, untuk menghasilkan ikan talang jeruk masin.

Bahan-bahan yang diperlukan

  • 2 ekor ikan talang bersaiz kecil (supaya mudah disimpan)

  • Garam

  • 2 keping asam keping

  • Minyak masak

  • Cuka

Cara penyediaan

1. Siang dan potong ikan

Selepas menyiang ikan, potonglah isi ikan talang mengikut saiz yang sederhana. Jangan potong terlalu nipis atau terlalu tebal.

Setelah itu, cuci bersih ikan dan tos kering.

2. Rendam dengan cuka dan jemur

Letakkan ikan dalam piring atau dulang, lalu renjiskan cuka pada keseluruhan ikan. Gaul rata supaya cuka menyerap ke dalam ikan.

Jemur ikan di bawah matahari selama hanya satu jam. Tidak perlu terlalu lama, cukup sehingga ikan mula kering sedikit.

3. Gaul dengan garam

Selepas dijemur, angkat ikan dan gaul bersama garam sehingga rata pada seluruh bahagian ikan.

Biarkan ikan perap selama satu jam sahaja, kali ini di dalam rumah, tidak perlu jemur lagi.

4. Simpan dalam minyak

Masukkan ikan yang sudah digaul garam ke dalam balang atau bekas kedap udara.

Tambahkan dua keping asam keping untuk memberi rasa masam dan tuangkan minyak masak sehingga menutupi ikan sepenuhnya.

5. Peram dan sedia dimasak

Simpan balang tersebut pada suhu bilik selama tujuh hari. Selepas tempoh ini, ikan talang jeruk masin anda sudah siap untuk dimasak.

Anda boleh goreng dan nikmati bersama nasi panas.

Itu sahaja yang perlu anda buat untuk hasilkan ikan talang jeruk masin. Mudah dan tak rumit.

Selamat mencuba.

BACA: Pekerjaan Ini Dihormati, Gaji ‘Mewah’ Di Jepun

BACA: Sedap Makan Musim Hujan, Ini Resipi Sup Ayam Bungkus Wajib Cuba

BACA: Sedap Buat Hidangan Minum Petang, Ini Resipi Bubur Pulut Hitam

Sumber: Dapoq Kebaya