Seorang wanita dilaporkan cedera parah setelah jatuh dari ketinggian 30 meter (100 kaki) daripada satu permainan di sebuah karnival di Queensland, Australia pada Sabtu lalu.
Menurut Mirror UK, wanita berusia 25 tahun itu sempat menjerit memberitahu dia sedang terjatuh ketika menaiki permainan buaian roller coaster ‘The Hangover’ di karnival berkenaan.
Impak terjatuh dari tempat tinggi, wanita itu dilaporkan mengalami kecederaan teruk pada kepala dan tulang belakang.
Salah seorang saksi, Bonnie Thistle berkata, dia terdengar jeritan mangsa ketika tergelincir keluar daripada permainan itu.
“Apa yang saya boleh dengar dari jauh, bahkan mengatasi pembesar suara dan segala-galanya, ialah seorang wanita menjerit “Saya sedang jatuh”,” katanya.
“Bila saya tengok, dia tergelungsur keluar dari tempat duduk,” ujar saksi berkenaan menceritakan detik cemas itu.
“Saya beritahu rakan saya dan bila lihat kembali, wanita itu telah jatuh. Dia sudah tiada di tempat duduk. Saya segera ke sana untuk melihat keadaannya,” kongsinya menceritakan kembali situasi ngeri sementara polis dan ambulans tiba.
“Cara dia mendarat, saya cukup trauma. Saya tidak tahu apa yang perlu difikirkan.
Mangsa dilaporkan kritikal namun stabil di Hospital Cairns dan siasatan ke atas kejadian itu masih berjalan.
Laporan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berpunca daripada cara pemakaian tali pinggang keselamatan yang tidak betul.
Sumber: Mirror UK