IPOH, 20 Nov – Kanser yang menjarah tubuh tidak menghalang cinta yang telah berputik sejak 10 tahun lalu untuk berakhir dengan lafaz pernikahan.
Pesakit kanser limfoma tahap empat, Siti Fatihah Aireina, 25, telah selamat diijabkabulkan dengan suaminya, Arif Aiman, 25, dalam satu majlis ringkas pada 14 Nov baru-baru ini.
Meskipun sekadar dirai oleh ahli keluarga terdekat, namun persandingan kedua-dua belah mempelai yang dilangsungkan di atas katil itu tular ke media sosial hingga menarik perhatian ramai.
Gambar persandingan di atas katil yang tular baru-baru ini | Kredit: Siti Norbaya ShaaraniIbunya, Siti Nurbaya Shaarani, 50, berkata, segalanya bermula sejak dari bangku sekolah lagi, namun kemuncaknya adalah apabila berlaku perubahan dalam hidup anak gadisnya itu.
“Mereka berkawan dan bercinta sejak dari tingkatan tiga dan bertunang pada April 2018. Manakala Fatihah disahkan menghidapi kanser limfoma pada sekitar dua tahun lalu.
“Simptom awal berlaku apabila terdapat benjolan-benjolan kecil di belakang bahagian telinga, macam bengkak beguk sebelum disahkan menghidapi kanser tersebut.
“Dia (kini) tidak boleh bergerak langsung, duduk pun tidak boleh. Nak bawa dia turun ke tingkat bawah pun sangat sukar. Kalau ada temujanji doktor, ambulan akan datang ke rumah untuk ambil dia,” katanya ketika dihubungi Siakap Keli hari ini.
Bagaimanapun, pernikahan yang menyatukan kedua-dua insan ini dipercayai mampu memberi sinar baharu buat kehidupan Fatihah.
Ketika bertunang pada 2018 lalu | Kredit: Siti Norbaya ShaaraniSinar baharu buat Fatihah
Sehubungan itu, Siti Norbaya menjelaskan, kesudian hatinya menerima pinangan Aiman untuk menjadi menantunya adalah disebabkan keperibadian yang dimiliki lelaki tersebut.
“Aiman anak yang baik, jujur, berbudi bahasa dan sangat menjaga (hati) ibu bapanya. (Dia juga) seorang anak lelaki yang mentaati ibu bapa.
“Insya-Allah mampu menjadi suami dan pelindung isteri yang hebat. Lagipun sudah kenal menantu (Aiman) lebih 10 tahun. Menantu orang yang sangat sabar dan penyayang,” tambahnya lagi.
Persandingan ringkas di atas katil | Kredit: Siti Norbaya ShaaraniSeminggu selepas sah bergelar suami isteri, Aiman kini yang juga merupakan pelajar tahun akhir jurusan kejuruteraan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Kulim, Kedah itu masih lagi dalam fasa awal memahami selok-belok menguruskan isterinya itu.
Dalam masa, Aiman juga perlu membahagikan masa dengan sebaiknya antara sesi pengajian dan kehidupan sebagai seorang suami.
“Aiman masih belajar menguruskan isterinya, (ianya) ambil masa juga.
“Kami, ibu bapa dan adik-adik Tiha (Fatihah) masih uruskan dia seperti biasa. Aiman suapkan makanan dan beri ubat mengikut masa seperti yang dijadualkan,” jelas Siti Norbaya lagi.
Pelajar aktif, pernah dinobat Wirawati Terbaik PLKN
Mengimbas kembali, Fatihah merupakan graduan jurusan Linguistik Gunaan (Komunikasi) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan telah bergraduasi pada 2018 lalu.
Sewaktu di zaman pengajiannya dari bangku sekolah sehinggalah ke universiti, Fatihah seorang pelajar yang aktif dan sering mencipta beberapa kejayaan peribadi.
Ketika majlis konvokesyen pada 2018 lalu | Kredit: Siti Norbaya Shaarani“Tiha sentiasa menjadi pelajar terbaik, pernah menjadi ketua pengawas sekolah, malah turut pernah merangkul Anugerah Pelajar Tokoh di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
“Dia pernah dinobat sebagai Wirawati Terbaik sewaktu menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
“Malah dia juga sering menjadi pembentang terbaik dalam jurusannya ketika di universiti,” katanya lagi.
Buka akademi sendiri, bantu anak bangsa kuasai Bahasa Inggeris
Berbekalkan ilmu yang ada, Fatihah mengasaskan sebuah akademi Bahasa Inggeris sebagai usaha membantu anak bangsa menguasai bahasa antarabangsa itu.
Akademi yang dinamakan sebagai BrightBrain Language Academy di Ulu Kinta, Perak itu dibangunkan pada Januari tahun lepas, dikelolai oleh Fatihah bersama ibunya.
Di situlah tempat Fatihah bersama Siti Norbaya merangka pelbagai usaha dalam memastikan ilmu pemahaman dan penguasaan Bahasa Inggeris dapat diaplikasikan dengan baik oleh pelajar-pelajar terbabit.
Selain itu, antara faktor lain akademi itu dibuka adalah kerana untuk dirinya yang minat bergaul dengan golongan kanak-kanak.
“Dia sangat menyukai kanak-kanak. Tersangat suka. Dia memang dilahirkan untuk menjadi seorang pendidik. Datuk, nenek, pakcik, makcik dan mak mertua pun seorang pendidik.
“Dia juga suka berbisnes,” tambahnya.
Kredit: BrightBrain Language Academy
Kredit: BrightBrain Language AcademyBagaimanapun, keadaan kesihatannya yang semakin merosot dari semasa ke semasa membuatkan dirinya tidak mampu lagi mengemudi akademi berkenaan.
Difahamkan, kini ibunya yang mengambil alih Brain Language Academy dan operasinya masih giat diteruskan seperti biasa.
Kembali ke rumah, tiada apa lagi yang Siti Norbaya harapkan melainkan kesembuhan yang baik buat anaknya itu satu hari nanti.
“Dengan kata-kata semangat, sokongan, kasih sayang dan doa-doa tulus ikhlas, saya yakin, Insya-Allah Tiha akan kembali sihat.
“Dengan kekasih hati di sisi, dia akan berjuang untuk sembuh,” luahnya.
Semoga Fatihah kembali pulih suatu hari nanti | Kredit: Siti Norbaya ShaaraniSumber: Siti Norbaya Shaarani, Izyan Izdihar Shaarani