Sumber : BERNAMA
Tiada Kategori

Caj Akses Sistem Bagi Program Cress Ditetapkan Pada 25 Sen Dan 45 Sen

Nurul Naqiyah

Caj Akses Sistem Bagi Program Cress Ditetapkan Pada 25 Sen Dan 45 Sen

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengalu alukan pemakluman Garis Panduan Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat atau Guidelines on Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga berkuatkuasa pada 20 September 2024 lalu.

Pihak Kementerian ingin memaklumkan bahawa kadar Caj Akses Sistem (CAS) untuk Program CRESS, sebagaimana yang telah dimaklumkan semasa Sesi Dialog Bersama Industri pada 22 Ogos 2024 telah ditetapkan seperti berikut:

1. CAS bagi output bekalan elektrik yang dijana daripada sumber tenaga boleh baharu yang berbentuk firm ditetapkan pada kadar 25sen/kWj; dan

2. CAS bagi ouput bekalan elektrik yang dijana daripada sumber tenaga boleh baharu yang berbentuk non-firm ditetapkan pada kadar 45sen/kWj.

Maklumat mengenai jenis output bekalan elektrik dan kadar CAS yang dikenakan telah diperincikan di dalam Garis Panduan CRESS. Sehubungan itu, pemain industri dan pemegang taruh boleh merujuk dokumen kawal selia berkaitan pelaksanaan Program CRESS ini, termasuk panduan serta kadar CAS di laman sesawang Suruhanjaya

PETRA sebagai Kementerian yang menerajui inisiatif peralihan tenaga sektor bekalan elektrik dan pembangunan tenaga lestari negara mempelawa penyertaan syarikat korporat dalam program CRESS bagi memenuhi komitmen environmental, social and governance (ESG) masing-masing.

PETRA juga yakin program CRESS mampu menyokong usaha Kerajaan untuk meningkatkan kapasiti terpasang tenaga boleh baharu (TBB) kepada 70% pada tahun 2050. Langkah ini bakal mengukuhkan lagi aspirasi nasional dalam mengurangkan jejak karbon sektor bekalan elektrik serta mengurangkan kebergantungan kepada sumber bahan api fosil.