
BYD Panggil Semula Lebih 115,000 Unit Kereta Akibat Masalah Reka Bentuk, Bateri
BEIJING — Pengeluar kenderaan elektrik (EV) China, BYD mengumumkan panggilan semula terbesar dalam sejarah syarikat itu, melibatkan lebih daripada 115,000 unit kenderaannya, lapor Business Times.
Menurut kenyataan yang diterbitkan oleh Pentadbiran Negeri bagi Peraturan Pasaran (State Administration for Market Regulation), pelaksanaan itu dibuat melibatkan dua kumpulan utama model BYD, Tang dan Yuan Pro.
Ia berikutan siasatan rasmi oleh badan pengawal selia berkenaan mendapati terdapat masalah membabitkan komponen utama sistem pemanduan dan bateri.
Difahamkan, penarikan balik pertama melibatkan kira-kira 44,000 unit model hibrid Tang yang dikeluarkan antara Mac 2015 hingga Julai 2017.
Masalah yang dihadapi model ini adalah pada reka bentuk komponen dan pengawal motor pemanduan, berpotensi menyebabkan papan litar terbakar, sekali gus mengakibatkan kehilangan kuasa semasa pemanduan.
Sementara panggilan kedua pula membabitkan sekitar 70,000 unit model elektrik Yuan Pro yang dihasilkan antara Februari 2021 hingga Ogos 2022.
Ia selepas mendapati terdapat masalah pada reka bentuk kalis air bateri, berisiko menyebabkan penurunan kuasa kenderaan.
Walau bagaimanapun, panggilan semula ini memberikan impak sebagai pengeluar kenderaan elektrik (EV) dalam membina jenama global.
Gergasi EV itu mengalami penurunan jualan bulanan pertama dalam tempoh 18 bulan pada September lalu, sekali gus kehilangan gelaran jenama paling laris di China pada bulan berkenaan.
BYD juga terpaksa mengurangkan sasaran jualan 2025 daripada 5.5 juta unit kepada 4.6 juta berikutan keadaan pasaran yang semakin mencabar
Sumber: Business Times