Daging singa
Kredit: Oddity Central

Burger Singa, Nuget Harimau & Ham Zirafah Bakal Dijual Di Pasaran

Faiz Mustafa

Sebuah syarikat teknologi makanan Primeval Foods merancang untuk lancarkan produk daging eksotik yang tidak berasal dari haiwan seperti burger singa, nuget harimau dan ham zirafah.

Memandangkan pasaran alternatif daging semakin kompetitif buat masa ini, syarikat tersebut merancang cara baharu untuk menonjolkan lagi produk mereka di Eropah.

Primeval Foods, merupakan sebuah syarikat yang bertapak di London khusus dalam bidang pertanian selular merancang untuk menjual daging eksotik yang hanya dicipta atau ‘ditanam’ dalam makmal mereka.

“Kita bukan bercakap soal daging lembu yang mahal dan sukar diperoleh, tapi daging yang tidak pernah dibayangkan bahawa ia boleh dimakan seperti daging singa atau harimau.

“Tiada haiwan yang akan dicederakan dalam proses ‘menanam’ daging eksotik ini di makmal kerana ia sebenarnya ‘ditanam’ menggunakan sel kultur, namun idea untuk makan singa atau harimau adalah perkara yang pelik dan mustahil,” lapor Oddity Central.

Hal tersebut kerana ia bukanlah daging yang biasa dimakan manusia, tapi Primeval Food anggap itu adalah peluang yang mungkin akan memberi keuntungan kepada pelaburan mereka.

“Sebab kenapa kita mengambil spesies seperti daging lembu dan ayam bukanlah kerana ia paling sedap, paling sihat atau paling berkhasiat.

“Tapi ia kerana haiwan-haiwan ini paling mudah untuk dijinakkan.

“Memandangkan daging yang ‘ditanam’ boleh melangkau spesies yang mampu dijinakkan, kini kami boleh mengkaji pilihan daging yang lebih sedap, paling sihat dan paling berkhasiat,” kata Rakan Kongsi Urusan di Ace Ventures, Yilmaz Bora (syarikat disebalik Primeval Foods) kepada Food Navigator, lapor Oddity Central.

Menurut Bora, pengambilan daging eksotik yang ‘ditanam’ mungkin akan membawa evolosi baru kepada otak dan mikrobiom usus manusia kerana profil protein dan asid amino yang unik.

“Tiada kelemahan seperti kolestrol dan lemak tepu terdapat pada daging ini.

“Jadi, kami membayangkan masa depan dengan pengambilan formulasi daging jaguar akan mendapatkan tidur dan ‘mood‘ yang lebih baik atau daging gajah yang akan meningkatkan prestasi kognitif,” tambahnya, lapor Oddity Central.

Memetik Oddity Central, Primeval juga telah mempertaruhkan fakta bahawa kebanyakan manusia menyukai perkara-perkara baru termasuklah makanan dan cara masakan yang baharu.

Walaupun sesetengah hidangan daging pada menu mereka kedengaran aneh pada awalnya, tapi disebabkan mereka tidak mengorbankan haiwan dan alam semulajadi, mereka mungkin sekurang-kurangnya berniat untuk mencubanya.

Difahamkan, mereka mendapatkan sel-sel daging ini daripada haiwan kurungan seperti ‘kucing besar’ dan sebahagiannya dari pasar-pasar daging eksotik.

“Dalam beberapa bulan akan datang, kami merancang untuk mengadakan acara di London untuk berikan kepada orang ramai rasa salah satu daging eksotik yang ‘ditanam’ oleh kami,” kata Yilmaz Bora, lapor Oddity Central.

Sumber: Oddity Central